KAPTEN skuad Harimau Malaya, Dion Cools mahu dia dan rakan-rakan sepasukannya melupakan kekalahan 0-2 kepada Oman di Muscat sebaliknya menumpukan kepada aksi berdepan lawan yang sama pada Selasa.
Dengan tempoh yang sangat singkat, skuad Harimau Malaya perlu bangkit semula pada perlawanan ini untuk mengutip mata yang penting bagi mengharungi baki perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
“Ianya satu tempoh yang singkat antara kedua-dua perlawanan dan dari perspektif pasukan, kami perlu bertindak dengan lebih pantas dan belajar segala kesilapan kami dari perlawanan lepas.
“Kami jangkakan perlawanan yang baik dan mendapat keputusan yang lebih positif untuk pasukan kerana kami hanya mahu menang perlawanan ini dan mahu mencipta lebih banyak peluang kerana kurang lakukannya ketika di Muscat,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Wisma FAM.
Dion juga tidak melihat Oman sebagai sebuah pasukan yang mempunyai kekuatan individu sebaliknya menyifatkan pasukan kendalian Jaroslav Silhavy itu sebagai sebuah pasukan yang lengkap di semua posisi.
“Secara umum mereka adalah pasukan yang bagus dan mampu bermain dengan baik sebagai satu unit yang baik dengan semua pemain tahu peranan masing-masing tetapi apa yang penting buat kami ialah kami perlu fokus kepada pasukan kami sendiri,” tambahnya.
Malaysia akan bertemu dengan Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa dalam misi mendapat keputusan positif bagi kembali mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan D untuk merebut peluang layak ke peringkat seterusnya.