PEMAIN naturalisasi Harimau Malaysia, Lee Tuck, mahu membuktikan dia masih relevan untuk berada dalam perancangan Kim Pan-Gon sehingga kempen Piala Asia di Qatar, tahun depan.

Menurut tonggak Kedah Darul Aman (KDA) itu, dia gembira dapat kembali terpilih ke kem kebangsaan bagi dua aksi persahabatan Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.

Malah Tuck mengakui bersedia memberi persembahan terbaik sekalipun terpaksa memulakan perlawanan dari bangku simpanan dengan persaingan sengit merebut kesebelasan utama.

“Skuad kebangsaan kali ini cukup baik dan latihan di bawah bimbingan jurulatih juga berjalan dengan intensiti tinggi. Jadi saya tidak sabar untuk kembali menyarung jersi Malaysia.

“Apabila tidak tersenarai Mac lalu, saya mahu membuktikan masih mampu memberikan sesuatu yang positif kepada pasukan ini tidak kisah jika bermain atau sebaliknya.

“Kami melakukan persiapan seperti sebelum ini dan sentiasa berusaha meningkatkan prestasi terutama bagi persiapan menghadapi Piala Asia,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Selasa.

Malah pemain kelahiran Halifax, England itu turut menyambut persaingan merebut posisi tengah dengan Syamer Kutty Abba, Endrick Dos Santos, Mukhairi Ajmal dan Paulo Josue antara pencabarnya.

“Ianya memberi manfaat kepada pasukan kerana pemain yang ada sangat berkualiti. Saya cuma gembira dapat berada di sini dan akan memberikan 100 peratus kepada pasukan,” katanya lagi.