SETIAP perlawanan, saya akan jaringkan satu gol.”

Itulah janji pemain berpengalaman Harimau Malaya, Syafiq Ahmad, kepada jurulatih Pau Marti yang bakal menamatkan tugasnya bersama skuad kebangsaan selepas Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024.

Janji tersebut menjadi simbol penghargaan Syafiq kepada Pau Marti yang telah membimbing skuad negara dengan penuh dedikasi.

Harimau Malaya akan memulakan kempen kejohanan itu pada Ahad dengan perlawanan pembukaan kumpulan A menentang Kemboja.

Sesi sidang media menjelang perlawanan pertama Kumpulan A, Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, Kemboja melawan Malaysia hari ini.

Dalam sidang media menjelang aksi esok, Pau Marti secara berseloroh menzahirkan kepercayaan terhadap Syafiq, sambil tersenyum ketika menceritakan janji tersebut.

“Syafiq Ahmad telah berjanji, setiap perlawanan dia akan jaringkan satu gol,” ujar Pau dengan nada spontan.

Syafiq Ahmad, yang kembali memperkuatkan skuad kebangsaan selepas tidak tersenarai dalam edisi sebelumnya, turut menyatakan kesediaannya untuk memberi persembahan terbaik di atas padang.

“Sebagai seorang pemain, kami ingin memberikan segala-galanya. Kami perlu melihat apa yang seorang jurulatih mahu dan seperti yang saya katakan, kami ingin mendapatkan pencapaian untuk pertandingan ini,” katanya.

Syafiq Ahmad berjanji untuk menjaringkan satu gol dalam setiap perlawanan kali ini

Ketika ditanya mengenai perasaannya kembali bersama skuad kebangsaan, Syafiq menjawab dengan penuh semangat dan yakin.

“Pertama sekali, saya amat menanti-nantikan pertandingan ini pada tahun ini kerana saya percaya pada saat ini, kita boleh teruskan.

“Bagi saya, setiap permainan adalah yang paling penting dan untuk esok, saya harap kita boleh dapatkan hasil positif,” tambahnya.

Harimau Malaya kini berada dalam momentum positif selepas siri perlawanan persahabatan yang meyakinkan.

Tambahan lagi, Pau Marti menegaskan bahawa pasukan akan mengambil pendekatan “langkah demi langkah” untuk memastikan setiap perlawanan diharungi dengan penuh persiapan dan strategi terbaik.

Perlawanan pembukaan menentang Kemboja pada esok bakal menjadi ujian penting buat skuad Harimau Malaya dalam misi memburu kejuaraan Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024.

Dengan janji Syafiq untuk memberikan persembahan terbaik, peminat bola sepak tempatan pastinya berharap skuad kebangsaan mampu mencatatkan kemenangan manis sebagai hadiah buat Pau Marti.