BEKAS pasangan no.1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menarik nafas lega selepas api perjuangan mereka terus menyala di Masters Kumamoto, Jepun, sekali gus menghidupkan peluang untuk beraksi ke Jelajah Dunia Akhir, bulan depan.

Diletakkan selaku pilihan kedua kejohanan, gandingan no. 4 dunia itu wajib menjuarai Masters Kumamoto untuk mencuri slot Jelajah Dunia Akhir dari tangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Berdepan pasangan tidak ternama Jepun, Keiichiro Matsui-Katsuki Tamate, gandingan profesional negara itu tunduk 21-23 di set pertama, sebelum merampas dua set berikutnya, 21-13, 26-24 dalam aksi selama 65 minit.

Kemenangan itu membolehkan mereka ke suku akhir dan bakal menentang Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan (Taiwan).

Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri turut dipaksa bermain 3 set.

Selain mereka, skuad negara turut mempunyai dua lagi wakil di suku akhir esok, iaitu Arif Junaidi-Yap Roy King yang akan berdepan Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita (Jepun) serta Choong Hon Jian-Haikal Nazri, yang bakal berdepan pilihan keenam kejohanan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin (Taiwan).

Hasrat melihat satu lagi wakil negara di suku akhir beregu lelaki tidak kesampaian setelah Nur Azryn Ayob-Tan Wee Kiong tewas kepada Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi (Jepun), 13-21, 11-21.