Carlos Alcaraz menyingkirkan pesaingnya Jannik Sinner daripada tangga teratas selepas mengesahkan kedudukan nombor satu dunia tahun ini dengan menewaskan Lorenzo Musetti 6-4, 6-1 pada Pusingan Akhir ATP di Turin.
Juara dua Grand Slam musim ini, Alcaraz akan merampas kedudukan Sinner dalam ranking lelaki terkini pada Isnin depan susulan kejayaannya menewaskan Musetti yang juga mengesahkan tempat pertama buat pemain Sepanyol itu dalam Kumpulan Jimmy Connors pada kejohanan akhir musim.
Alcaraz, yang menang 70 perlawanan musim ini, mungkin tewas pada separuh akhir esok, tetapi tetap akan menamatkan 2025 di tangga teratas, walaupun jika Sinner mengekalkan gelaran Pusingan Akhir ATP di tanah airnya sendiri.
Namun, Alcaraz nampak tidak berpuas hati hanya dengan itu kerana dia memburu kejayaan pertamanya pada Pusingan Akhir ATP dan dijangka berdepan Sinner sekali lagi, yang mara sebagai pemenang Kumpulan Bjorn Borg kelmarin.
“Ini terlalu bermakna buat saya, secara jujurnya, nombor satu dunia adalah sasaran utama,” kata Alcaraz.
“Jujurnya pada awal tahun saya nampak nombor satu itu amat jauh, Jannik di sana menang hampir setiap kejohanan yang disertainya.
“Bagi saya ia bermakna segala-galanya. Kerja keras yang kami lakukan setiap hari sepanjang musim, naik turun dan pemulihan dari sudut tenis. Saya sangat bangga dengan pasukan saya dan diri saya sendiri.”
Alcaraz menang empat daripada lima pertemuannya dengan Sinner musim ini, semuanya pada final kejohanan bertaraf tinggi termasuk dua perlawanan akhir Grand Slam.
Pemain berusia 22 tahun itu memenangi salah satu perlawanan terbaik dalam sejarah tenis menentang Sinner untuk mengekalkan gelaran Terbuka Perancis pada Jun sebelum tewas di final Wimbledon kepada pemain Itali itu.
Awal pagi tadi, dia dengan tenang mengatasi rakan senegara Sinner, Musetti yang kini tersingkir dan perlu memutuskan sama ada menyertai pusingan akhir Piala Davis di Bologna minggu depan.
Peminat yang bersemangat bersorak untuk Musetti, namun usaha itu tidak berjaya buat pemain nombor sembilan dunia yang hanya layak ke Pusingan Akhir ATP selepas Novak Djokovic menarik diri pada saat akhir.
Mara ke separuh akhir bersama Alcaraz adalah Alex de Minaur yang layak selepas menang 7-6 (7/3) 6-3 ke atas Taylor Fritz pada perlawanan terdahulu. – AFP