NEGERI Sembilan FC (NSFC) mengumumkan pelantikan Efendi Abdul Malek sebagai Pengarah Teknikal yang baharu pada Khamis menerusi hantaran yang dimuat naik laman sosial rasmi kelab.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus menyatakan pihak kelab kekal optimistik dalam mengimbangi keperluan skuad Liga Super dan skuad-skuad pembangunan di dalam kelab.

“Pelantikan Efendi Abdul Malek adalah satu manifestasi keinginan kelab dalam melakukan rombakan falsafah bola sepak kelab bermula dari peringkat bawah-23 tahun hingga ke peringkat akar umbi.

Manfaat ini akan turut dipanjangkan kepada pembangunan bola sepak di seluruh Negeri Sembilan melalui kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

Dengan statusnya sebagai bekas pemain kebangsaan dan jurulatih elit di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), sudah pastinya dia faham akan kehendak bola sepak moden, sesuai dengan halatuju yang ingin dibawa NSFC bermula pada musim ini. Selamat bertugas kami ucapkan,” tulis kenyataan itu.

Selaku Pengarah Teknikal, Efendi berharap dapat merancakkan lagi program pembangunan bola sepak di Negeri Sembilan dan mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang telah diberikan oleh Negeri Sembilan FC kepadanya.

Dalam bidang kejurulatihan, Efendi memiliki Sijil Kejurulatihan Diploma “A” AFC/FAM dan pernah bertugas selaku Ketua Jurulatih Skuad Elit B-16 Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang.