PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menghadiahkan kemenangan yang dilakar di Manila, Filipina pada Hari Buruh kepada seluruh rakyat Malaysia.
Malah, Zii Jia juga tak sabar menikmati rendang, ketupat dan nasi lemak sempena Hari Raya Aildilfitri yang disambut pagi ini.
“Ini adalah hadiah yang paling bermakna untuk saya buat semua warga Malaysia menjelang menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sponsor saya VICTOR , LG Global , OPPO dan 100PLUS Malaysia.
“Kepada penyokong di Filipina, saya amat terharu dan terkilan dengan memori semasa Sukan SEA 2019 dalam gelanggang yang sama saya menangi emas untuk negaraku.
“Memori ini akan disebati dalam hati Zii Jia” tulisnya menerusi Facebook.
Pada Ahad, anak kelahiran Kedah itu bergelar juara Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas menumpaskan pemain Indonesia, Jonatan Christie 21-17 23-21 dalam aksi akhir.
Zii Jia yang juga pilihan ketiga kejohanan berjaya menamatkan penantian Malaysia selama enam tahun tanpa gelaran kategori perseorangan lelaki di BAC.
“Kepada team saya yang sering memberi kerjasama terbaik walaupun masa agak terhad tetapi komitmen kalian adalah paling padu. Diharap semangat sepasukan ini akan kekal dan bertambah baik menerajui masa depan,” katanya lagi.