PASUKAN Sabah FC terus tunjuk taring dalam saingan Liga Super dengan kemenangan 4-2 ke atas Perak FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada Sabtu.
Walaupun berdepan cabaran cuaca panas terik, pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee berjaya bangkit selepas ketinggalan, mempamerkan semangat juang yang tinggi.
Kemenangan ini dianggap signifikan kerana Sabah kehilangan beberapa tonggak utama termasuk Darren Lok yang mengalami kecederaan.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, mengakui bahawa perlawanan pada jam 5 petang dalam keadaan cuaca panas memberikan cabaran besar buat pasukannya.
Pun begitu, beliau memuji para pemain yang tampil dengan cemerlang, terutamanya mereka yang mengisi kekosongan akibat ketiadaan pemain utama.
“Kehilangan Darren Lok membuka ruang kepada pemain lain untuk menyerlah. Apa yang ditunjukkan oleh para pemain hari ini amat penting dan harus dibawa ke perlawanan akan datang,” kata Kim Swee.
Dalam masa sama Kim Swee memuji Stuart Wilkin yang menjaringkan gol pendahuluan buat Sabah.
“Stuart telah banyak menyumbang kepada pasukan, dan saya harap dia dapat meneruskan momentum ini bukan sahaja untuk Sabah, tetapi juga untuk pasukan kebangsaan.”

Stuart Wilkin, pemain tengah Sabah FC, menjaringkan gol kedua buat Sabah, semalam.
Namun, Sabah FC kini berdepan cabaran besar dengan ketiadaan Darren Lok yang dijangka berehat antara empat hingga enam minggu.
Kim Swee menyifatkan kecederaan ini sebagai satu cabaran buat pasukan, tetapi beliau yakin dengan proses pemulihan Darren yang akan membolehkan dia kembali beraksi dengan lebih baik.
“Kecederaan biasa dalam bola sepak, namun kami harap Darren akan kembali cergas dan bangkit seperti Stuart dan Dominic Tan.
“Kami perlu memikirkan cara pemulihan yang lebih saintifik, bukan sahaja untuk Sabah FC tetapi juga untuk pasukan kebangsaan,” katanya.
Katanya, pemain seperti Dominic Tan, Stuart Wilkin, Daniel Ting, dan Darren Lok telah bermain tanpa henti sejak penghujung 2021.
Dengan kemenangan ini, Sabah FC berjaya mengekalkan momentum positif mereka dalam Liga Super, namun cabaran besar menanti mereka apabila berdepan perlawanan seterusnya tanpa beberapa pemain utama.