UNITED Kingdom dan Republik Ireland akan menjadi tuan rumah bersama bagi Kejohanan Euro 2028 manakala Itali dan Turkiye pula dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi Euro 2032 umum UEFA pada Selasa.
Kedua-dua bidaan itu tidak ditandingi namun masih perlu menunggu keputusan rasmi dari badan bola sepak Eropah itu yang akhirnya diterima ketika mesyuarat berlangsung di Switzerland.
Turkiye minggu lalu menarik diri dari proses bidaan Euro 2028 sekali gus memberikan laluan kepada Britain dan Ireland yang pada masa sama tidak mahu meneruskan bidaan penganjuran Piala Dunia 2030 kerana mahu meletakkan fokus kepada Kejohanan Eropah.

“UK dan Ireland berterima kasih kepada UEFA atas keyakinan mereka untuk memberikan hak penganjuran Euro 2028 kepada gabungan lima persatuan dan tahniah buat Itali dan Turkiye atas kejayaan mereka menjadi tuan rumah bagi edisi 2032,” menurut kenyataan bersatu dari lima persatuan itu.
Turkiye yang sebelum ini gagal dalam setiap bidaan Kejohanan Eropah sejak 2008, pada mulanya menjadi calon bagi kedua-dua edisi 2028 dan 2032 namun bagaimanapun bersetuju untuk bergabung dengan Itali bagi membida edisi 2032 pada Julai.
England yang menjadi tuan rumah Kejohanan Euro Wanita tahun lalu, kali terakhir menganjurkan kejohanan lelaki pada 1996 dimana ketika itu Kejohanan Eropah hanya melibatkan 16 pasukan dengan Jerman muncul sebagai juara.

Enam venue telah dicadangkan untuk edisi 2028 di England dengan dua stadium di London manakala masing-masing satu di Manchester, Liverpool, Newcastle dan Birmingham manakala Belfast, Dublin, Glasgow dan Cardiff juga disenaraikan sebagai calon venue.
Perdana Menteri Republik Ireland, Leo Varadkar menerusi laman X peribadinya berkata dia sangat gembira dengan kejayaan Ireland dan UK menjadi tuan rumah bersama untuk Euro 2028.
I am over the moon that Ireland and the UK will co-host EURO 2028. Congratulations to @FAIreland & all involved in winning the bid. It will be the biggest event ever hosted by our two islands working together. Great to be joined by Victoria, Dylan & Eoin from @CastleknockCFC⚽️ pic.twitter.com/IVMe536gPJ
— Leo Varadkar (@LeoVaradkar) October 10, 2023
“Ianya akan menjadi acara terbesar yang pernah dianjurkan oleh kedua-dua kepulauan secara bersama,” tulisnya.
Minggu lalu Fifa telah mengumumkan tuan rumah untuk Piala Dunia 2030 dengan enam negara bakal menjadi tuan rumah — Argentina, Uruguay dan Paraguay yang akan menganjurkan tiga perlawanan pertama dengan bakinya dianjurkan di Portugal, Sepanyol dan Maghribi.