PEDIH, perit, memilukan, memalukan !
Itulah ungkapan bagi menggambarkan insiden menyayat hati yang mengorbankan 125 nyawa yang berlaku dalam aksi Liga 1 Indonesia, pertemuan Persebaya Surabaya menentang Arema FC di Stadium Kanjuruhan, Malang.
Tragedi ngeri tersebut turut mendapat reaksi Jurulatih Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim yang pernah membimbing pasukan kelab Indonesia, Persipura Jayapura pada tahun 2007.
Jelasnya, pasukan pelawat tidak boleh menang atau seri kepada pasukan tuan rumah sekiranya ingin pulang dengan selamat.
Perkara tersebut turut menjadi perbualan ketika Irfan keluar makan bersama rakannya yang lain seperti Datuk Dollah Salleh, Fandi Ahmad dan beberapa lagi.
Selain itu, kawalan pihak berkuasa perlu diperketatkan lagi dengan pemeriksaan yang lebih menyeluruh bagi menyekat secara total penggunaan suar dan lebihan penonton yang menyeludup masuk ke dalam stadium secara haram.
“Memang penyokong di sana betul-betul fanatik. Kalau bermain di rumah, memang tidak boleh seri. Seri ini kira macam menanglah. Kalau tuan rumah kalah di tempat sendiri empat atau lima jam tidak keluar stadium.
“Perkara ini dialami sama oleh Fandi Ahmad. Malam sebelum pertandingan, kita ada keluar makan, saya, Dollah, Fandi, Ahmad Yusof, jadi kami berbincang tentang fanatiknya penyokong di Indonesia.
“Ada pihak keselamatan semua jaga, tetapi tidak mencukupi kalau hendak dibandingkan dengan penyokong 30,000 orang. Yang menjadi masalah di sana, mereka dibenarkan membawa masuk suar ke stadium.
“Yang lebih menghairankan, mereka boleh menembak antara kumpulan penyokong dan penyokong lawan. Yang paling tidak tahan itu asap hasil dari suar tersebut. Tidak keluar stadium itu biasa.
“Limpahan penonton kadang-kadang melebihi had pada masa itu. Fanatik pun satu juga. Seterusnya, mereka dibenarkan membawa suar itu yang pelik,” katanya ketika ditemubual FLASH SUKAN.
Menceritakan pengalamannya ketika pasukan bimbingannya bermain, dia menceritakan liku-liku terpaksa melalui laut menaiki bot hanya untuk keluar stadium.
Tambahnya, perkara sebegini jelas bukan sahaja memalukan negara Indonesia tetapi sukan bola sepak secara umum kerana turut melibatkan kemalangan jiwa.
Ekoran dari peristiwa itu juga, ramai yang terpaksa kehilangan ibu ayah, anak, isteri, suami dan ahli keluarga terdekat dan ianya pasti meninggalkan impak yang besar terhadap kehidupan seterusnya.
“Kami seri ketika bermain di rumah. Kami tidak dapat keluar stadium. Terpaksa kami melalui laut, stadium kami tepi laut, naik bot untuk ke bandar. Naik jalan raya memang tidak boleh sebab mereka tunggu.
“Memang menyedihkan. Dengan korbannya 125 orang itu telah menjadi sejarah dunia. Memang Surabaya dengan Malang itu saling berentap.
“Pada saya, mungkin malam itu, kawalan dan tindakan pihak polis dan tentera tidak berapa tepat apabila menembak gas pemedih mata, tidak boleh bernafas. Mereka duduk di dalam sudah seperti penjara. Itu yang berlaku pijak memijak dan sebagainya,” ulasnya.
Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 itu menyeru agar semua pihak bijak mengawal emosi dan menganggap sukan tersebut sebagai suatu hiburan.
Dalam nada sebak, dia turut memuji akhlak warga Korea dan Jepun kerana penyokong mereka mempamerkan sahsiah terpuji sehingga troli bayi dapat dibawa masuk dan pulang dalam keadaan selamat.
Justeru, pengendali berusia 71 tahun itu mengajak semua mencontohi sikap dan budaya mulia yang dibawa negara matahari terbit itu ketika menyaksikan perlawanan bola sepak tidak kira ketika kalah atau menang.
“Kita harus mengawal emosi. Anggap bola sebagai hiburan, salah satu sukan yang boleh menyatupadukan rakyat. Janganlah sampai tahap terlalu fanatik sampai sanggup membunuh. Jarak antara pasukan pelawat dengan tuan rumah kena ada kawalan yang ketat.
“Di sini kita harus puji orang Jepun atau Korea apabila mereka menonton bola sepak. Mereka boleh membawa troli anak atau bayi. Apabila pasukan Jepun bermain, bagaimana mereka masuk ke bilik persalinan bersih, macam itu jugalah kebersihan sama seperti sebelum masuk.
“Anak-anak muda mereka tunggu dengan bekas sampah. Dalam pasukan saya ini ada seorang pemain Jepun. Kerja dia lepas latihan dia kutip botol, letak dalam tong sampah. Mungkin dari kecil telah diasuh macam itu, ujarnya.