SRI Pahang terus dirundung malang apabila mengalami kekalahan ketiga berturut-turut kali ini tunduk 2-1 kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi derbi Pantai Timur , Ahad malam.
Turun selaku pelawat, pintu gol Sri Pahang dibolosi seawal minit pertama hasil jaringan leret Kpah Sherman dari dalam kotak penalti yang menyudahkan umpanan Petrus Shitembi.
Skuad Tok Gajah kemudian berpeluang untuk mengikat kedudukan namun sepakan percuma Kevin Ingreso melencong ke sebelah tepi pada minit kelima.
Pemain tengah TFC, Manuel Ott, hampir menggandakan kedudukan buat tuan rumah malangnya rembatan deras jarak jauh pada minit ke-21 ditepis penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa.
Memasuki minit ke-66, Samassa terus bekerja keras menyelamatkan pintu golnya setelah menafikan peluang satu lawan satu berdepan Sherman.
Peluang terbaik Sri Pahang menjelma dua minit kemudian melalui Abdul Malik Mat Ariff namun bola tolakannya dikeluarkan Shahrul Nizam Ros Hasni di atas garisan gol ketika penjaga gol sudah tertewas.
Kesempatan itu diambil TFC untuk menjarakkan kedudukan hasil sepakan penalti Faisal Abdul Halim selepas dia dikasari Shahrul Aizad Zulkifli pada minit ke-80.
Jaringan saguhati Sri Pahang hanya dihasilkan pada minit ke-86 menerusi Abdul Malik yang bijak melepasi perangkap ofsaid tetapi sudah terlewat untuk menghalang kemenangan TFC.