LANGKAH Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memperkasakan dan membaiki tahap pengadilan dalam Liga Malaysia semakin giat dijalankan apabila seramai 30 pengadil dan pembantu pengadil akan dihantar untuk menjalani latihan serta mendapatkan lesen Video Bantuan Pengadil (VAR) daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan perkara tersebut, manakala pihaknya dan MFL sudah mengenalpasti beberapa vendor VAR yang diiktiraf Fifa.
“Pengadil adalah sebahagian daripada perlawanan bola sepak dan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, kami ada melakukan perbincangan berkaitan perlaksanaan VAR bermula tahun ini.
“Ada beberapa vendor sudah dikenalpasti yang diiktiraf Fifa dan bersama MFL kami mahukan sistem ini digunakan bermula pada suku akhir Piala Malaysia dan beberapa lagi perlawanan musim hadapan.
“Disebabkan pengadil adalah di bawah bidang kuasa FAM, kami akan hantar 30 pengadil dan pembantu pengadil untuk latihan VAR dan dapatkan lesen dari Fifa yang mengambil masa dalam tempoh enam hingga tujuh bulan,” katanya dalam sidang media selepas berakhir mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa.
Sebelum ini, timbul gesaan penyokong bola sepak tempatan supaya penggunaan VAR dipercepatkan selepas beberapa keputusan meragukan dari pengadil berlaku pada lima aksi awal Liga Super hingga mendapat perhatian ramai.
Pengadil Zulkarnain digantung serta-merta !
Pantas buat kerja!https://t.co/pUd0tHZENA pic.twitter.com/xjM67oPh8h
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 19, 2023
Kemuncaknya adalah pada perlawanan Sabah FC dan Penang FC yang menyaksikan dua sepakan penalti yang diberikan pengadil adalah tidak tepat dan ekoran daripada itu, pengadil perlawanan itu, Zulkarnain Zakaria telah digantung tugasan sepanjang musim 2023 ini.
Dalam perkembangan yang sama Hamidin turut mengesahkan bahawa pengadil kebangsaan, Nazmi Nasarudin dan pasukannya akan dipersiapkan sebagai pengadil ke Piala Dunia 2026 dengan menjalani latihan dan perlesenan VAR di Thailand sebagai persiapan segera.
Nazmi sebelum ini membuktikan pengadil di Malaysia juga berkemampuan apabila dipilih menjadi pengadil untuk perlawanan akhir Piala Asia AFC B20 Tahun di Uzbekistan.
ARTIKEL BERKAITAN: Liga Malaysia 2023: MFL jangka VAR bakal diguna pada final Piala Malaysia