Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan senarai tiga finalis bagi setiap kategori Liga M Awards 2025-2026, sekali gus membuka tirai kepada penentuan penerima anugerah berprestij yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini.

Daripada 10 calon awal yang dicalonkan bagi setiap kategori, hanya tiga finalis dipilih menerusi undian membabitkan 13 ketua jurulatih, 13 ketua pasukan Liga Malaysia serta 13 wakil media. Pemilihan itu dibuat berdasarkan prestasi konsisten sepanjang musim 2025-2026.

Menggunakan format baharu, Liga M Awards kali ini mengambil kira semua aksi rasmi dalam kalendar Liga Malaysia termasuk saingan Liga Super, kejohanan piala domestik serta perlawanan akhir Piala Malaysia.

Bagi kategori Penjaga Gol Terbaik, penyandang anugerah Ahmad Syihan Hazmi dari Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali tersenarai bersama Haziq Nadzli (Kuching City FC) dan Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Selangor FC).

Kategori Pertahanan Terbaik pula menyaksikan Quentin Cheng (Selangor FC), Rodney Celvin Akwensivie (Kuching City FC) dan Ubaidullah Shamsul Fazili (Terengganu FC) dipilih sebagai tiga finalis selepas mempamerkan aksi konsisten di benteng pertahanan pasukan masing-masing.

Saingan bagi Pemain Tengah Terbaik membabitkan tonggak JDT, Afiq Fazail yang akan dicabar Danial Amier Norhisham (Kuching City FC) serta Nooa Laine (Selangor FC). Kategori itu sebelum ini dimenangi Arif Aiman Mohd Hanapi pada edisi lalu.

Bagi Penyerang Terbaik, Safawi Rasid (Kuala Lumpur City FC) yang meledak 13 gol dalam saingan Liga Super akan bersaing dengan Faisal Abdul Halim (Selangor FC) dan Ramadhan Saifullah Usman (Kuching City FC) untuk merebut anugerah yang dimenangi Paulo Josue musim lalu.

Kategori Pemain Muda Terbaik pula menyaksikan Aliff Izwan Yuslan (Selangor FC), Haziq Aiman Esa (Melaka FC) dan Haziq Kutty Abba (Penang FC) berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik hasil persembahan cemerlang sepanjang musim.

Sementara itu, Aidil Sharin Sahak (Kuching City FC), Kim Pan-gon (Selangor FC) dan Xisco Munoz (Johor Darul Ta’zim) menjadi tiga finalis bagi kategori Jurulatih Terbaik. Aidil Sharin yang merupakan penyandang anugerah itu berharap mampu mempertahankan gelaran selepas berjaya membawa Kuching City layak ke pentas Asia buat kali pertama.

Bagi kategori Pemain Import Terbaik, Bergson Da Silva (Johor Darul Ta’zim) sekali lagi dicalonkan selepas memenangi anugerah tersebut musim lalu. Penyerang berbisa itu bakal menerima saingan daripada Chrigor Moraes (Selangor FC) dan Petrus Shitembi (Kuching City FC).

Kesemua pemenang termasuk anugerah paling berprestij, Pemain Paling Bernilai (MVP), akan diumumkan pada malam Liga M Awards 2025-2026 yang dijadual berlangsung pada 12 Ogos.