BEKAS penyerang sensasi Harimau Malaya, Safee Sali menegaskan keinginannya untuk membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih utuh dan tidak pernah terhenti, malah beliau bersedia menyumbang tenaga demi kemajuan bola sepak tanah air.

Menurut Safee, beliau terbuka untuk memainkan peranan di peringkat pengurusan termasuk memimpin badan induk itu yang kini berdepan fasa peralihan selepas kesemua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) meletakkan jawatan pada penghujung bulan lalu.

Ketika ini, FAM dikendalikan sementara oleh Sekretariat yang diterajui Setiausaha Agung, Datuk Noor Azman Rahman dengan sokongan Pasukan Petugas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang sedang menjalankan penilaian terhadap aspek tadbir urus persatuan berkenaan.

Safee yang pernah muncul penjaring terbanyak Piala AFF 2010 berkata, beliau masih menyimpan cita-cita untuk menyumbang di peringkat pentadbiran bagi memastikan hala tuju bola sepak negara lebih terancang dan menyeluruh.

“Masih ada harapan dan saya masih menetapkan perkara itu (untuk dilantik sebagai Exco FAM) di setiap perjalanan langkah saya. Melihat kepada situasi bola sepak kita sekarang, sudah tentu AFC yang sedang memimpin sekarang dan kita lihat macam mana perjalanan dan pergerakan AFC di masa hadapan.

“Dan saya harapkan ada sesuatu perkara yang positif berlaku di masa hadapan,” katanya.

Bekas penyerang Selangor, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC itu turut menjelaskan pengalaman luasnya bersama komuniti dan pembangunan akar umbi boleh menjadi nilai tambah sekiranya diberi peluang menggalas tanggungjawab dalam pentadbiran bola sepak negara.

Menurut Safee, bola sepak adalah sukan rakyat yang dekat di hati masyarakat dan perlu dipimpin oleh individu yang benar-benar memahami denyut nadi penyokong serta pemain di peringkat akar umbi.

“Ya melihat kepada bola sepak di Malaysia, di negara kita, dah tentu sukan bola sepak ini sukan rakyat, sukan masyarakat setempat. Itu yang saya belajar dan saya menyentuh kepada akar umbi semua untuk melihat bagaimana perjalanan mereka semua.

“Saya rasa dengan pengalaman apa yang saya cuba kumpulkan selama ini dengan komuniti, dengan rakyat, Insya-Allah dan sukan bola sepak itu dapat dijadikan, dapat pemimpin yang saya rasa yang sempurna, yang betul-betul menjaga sukan bola sepak ini, yang betul-betul menjaga masyarakat,” katanya lagi.

Hasrat Safee itu hadir ketika landskap bola sepak negara dilihat memerlukan pembaharuan menyeluruh khususnya dalam pembangunan bakat muda dan pemantapan struktur liga, dengan beliau menegaskan apa jua peranan yang bakal digalas kelak adalah demi memastikan bola sepak Malaysia kekal relevan dan progresif.