PEMAIN tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Juan Muniz tidak mahu memandang enteng cabaran yang bakal diberikan Kuala Lumpur City FC dalam aksi Liga Super meskipun sedar pasukan itu turun tanpa barisan terbaik.

JDT yang baru diikat Buriram United dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite pada Selasa sudah tentu mahu menggunakan aksi ini untuk kembali di landasan kemenangan namun Muniz masih mahu berhati-hati kerana apa jua boleh berlaku dalam bola sepak.

Namun begitu, Muniz teruja apabila sekali lagi akan beraksi di Stadium Sultan Ibrahim yang dianggap sebagai kubu kuat dengan sokongan padu dari penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan.

Muniz mahu pastikan tiga mata jadi milik JDT ketika berdepan KL City di Stadium Sultan Ibrahim 

“Kuala Lumpur City adalah pasukan yang baik dengan pemain-pemain yang bagus tetapi kami mempunyai kekuatan apabila bermain di laman sendiri dengan kehadiran para penyokong setia.

“Kami yakin dengan diri sendiri kerana kami sangat baik di peringkat liga namun tidak boleh memandang rendah keupayaan KL City walaupun mereka akan beraksi tanpa beberapa tonggak utama,” katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Ibrahim.

Skuad kendalian Miroslav Kuljanac itu kehilangan khidmat Paulo Josue, Haqimi Azim dan Patrick Reichelt pada aksi Ahad ini selepas mereka dilepaskan ke skuad kebangsaan Malaysia dan Filipina untuk menghadapi Piala Asean Mitsubishi Electric 2024.

Muniz cemerlang dengan dua jaringan dan dua ‘assist” ketika aksi di Cheras lalu

Pada aksi Pusingan Pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Mei lalu menyaksikan Juan Muniz meledak dua gol untuk membantu Harimau Selatan menang dengan keputusan 5-1 dan dia kini bersedia untuk membantu pasukan sekiranya diturunkan.