DUA gol seawal enam minit pertama dari Gwangju FC menyaksikan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima kekalahan pertama musim ini dalam aksi Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) 2024-25 dengan jaringan 1-3 di Stadium Yongin Mireu, Republik Korea.

Gwangju FC yang menang kedua-dua permainan sebelum ini membuktikan diri mereka sebagai pilihan apabila ayam tambatannya, Jasir Asani tidak menunggu lama untuk menjaringkan gol buat tuan rumah pada minit ketiga.

Feroz Baharudin yang diberikan peluang memulakan perlawanan kelihatan gugup dengan melakukan kesilapan hingga memberikan Jasir Asani peluang menggandakan gol buat Gwangju pada minit keenam untuk gol keenamnya dalam pertandingan ini.

Feroz Baharudin menjadi watak penting dalam aksi bertemu Gwangju FC

Selepas selesa mendahului 2-0, Gwangju dilihat mengendurkan aksi dan JDT mengambil peluang ini untuk mengawal permainan dan mula melakukan serangan ke kubu lawan bagi mencari gol pertama untuk merapatkan kedudukan.

Feroz berjaya menebus kesilapannya apabila melonjak tinggi menyambut sepakan sudut Juan Muniz untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-28 yang juga gol pertamanya di ACLE.

Harimau Selatan lebih banyak mengasak selepas itu dengan Oscar Arribas dan Park Jun-heong hampir memberikan gol penyamaan namun digagalkan penjaga gol lawan untuk kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, JDT mengawal perlawanan dengan beberapa peluang terhasil meskipun Gwangju dilihat lebih bertahan dan mula meletakkan kesemua pemain di kawasan sendiri.

Hector Bidoglio melakukan pertukaran dengan memasukkan Bergson Da Silva, Heberty Fernandes dan Jese Rodriguez untuk menambah sengat bahagian serangan JDT namun Gwangju masih kebal bertahan bagi mempertahankan kelebihan satu gol.

Ketika JDT menyerang, Gwangju FC menambah satu lagi gol menerusi gol sendiri Park Jun-heong yang membias dari tandukan Heo Yool selepas Jasir Asani sekali lagi menjadi duri dalam daging buat JDT dengan hantaran yang cukup menarik.

Kedudukan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan dan Gwangju mencipta 100 peratus kemenangan dari tiga perlawanan manakala JDT tewas buat kali pertama terlepas peluang untuk merapatkan jurang mata di dalam liga.