Kredit Gambar: Darren Staples/AFP
KETUA pasukan Manchester United, Bruno Fernandes, dinobatkan sebagai PFA Players’ Player of the Year 2026 bagi melengkapkan musim cemerlang buat pemain tengah Portugal itu.
Kapten The Red Devils menerima pengiktirafan tersebut selepas dipilih oleh pemain profesional menerusi undian PFA, selain turut disenaraikan dalam PFA Premier League Team of the Year.
“Sudah tentu saya amat bangga dengan semua yang telah memilih untuk mengundi saya dan ini adalah sesuatu yang amat saya hargai,” kata beliau ketika sesi temuramah selepas menerima anugerah tersebut.
Beliau turut mengulas mengenai kejayaan memecahkan rekod umpanan gol (assist) Liga Perdana Inggeris yang sebelum ini dipegang bersama oleh Thierry Henry dan Kevin De Bruyne.
“Jujurnya saya tidak fikir sangat mengenainya sehinggalah perkara ini mula diperkatakan dan sudah tentu apabila semakin hampir, kita akan mula terfikir mengenainya.
“Tetapi saya rasa perkara ini lebih memberi kesan kepada barisan penyerang berbanding diri saya sendiri, kerana mereka begitu teruja untuk menjaringkan gol dan memberikan umpanan itu,” tambah pemain tengah Portugal itu.
Sementara itu, kejayaan ini cukup istimewa juga buat Manchester United apabila Fernandes menjadi pemain pertama kelab berkenaan sejak Wayne Rooney pada 2010 yang memenangi anugerah tersebut.
Juga, kejayaan Fernandes ini merupakan kemenangan ke-12 kelab itu dalam kategori PFA Players’ Player of the Year, sekali gus menjadikan mereka kelab dengan jumlah kemenangan terbanyak dalam sejarah anugerah tersebut.
Kejayaan ini turut mengukuhkan kedudukan Fernandes dalam sejarah PFA apabila dia menjadi pemain Portugal kedua memenangi anugerah berkenaan selepas Cristiano Ronaldo.
Lebih menarik, kemenangan Fernandes seolah-olah mengesahkan keyakinan yang pernah disuarakan pengurus United, Michael Carrick, sebelum ini.
Pada Mac lalu, Carrick menyatakan harapannya untuk melihat Fernandes memenangi PFA Player of the Year selepas mengakui kagum dengan prestasi dan pengaruh besar yang ditampilkan kaptennya sepanjang musim.
Dari sudut pencapaian, Fernandes menamatkan kempen Premier League 2025/26 dengan 21 bantuan gol dan sembilan gol, selain membantu Manchester United menamatkan saingan di tempat ketiga dan kembali ke pentas Liga Juara-Juara.
Bagi kategori wanita pula, penyerang Manchester City, Khadija Shaw, menerima Women’s PFA Players’ Player of the Year 2026 selepas cemerlang dengan 26 gol dalam semua pertandingan dan membantu pasukannya menjulang kejuaraan Women’s Super League (WSL) dan Piala FA.
Selain itu, malam gemilang itu turut menyaksikan bintang muda Manchester City, Nico O’Reilly, dinobatkan sebagai PFA Young Player of the Year 2026 selepas menampilkan prestasi luar biasa sepanjang musim.
Anugerah PFA 2026 secara keseluruhannya menyaksikan penguasaan kelab-kelab utama seperti Arsenal, Manchester United dan Manchester City yang mengesahkan dominasi mereka dalam bola sepak Inggeris sepanjang musim lepas.