KEJAYAAN bersejarah Jepun mempertahankan kejuaraan Piala Asia Bawah 23 Tahun AFC terus mendapat pujian apabila Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kekuatan ekosistem bola sepak negara Matahari Terbit berkenaan.
Jepun muncul juara buat kali ketiga, sekali gus mencipta rekod baharu selepas membelasah China PR 4-0 pada perlawanan akhir di Stadium Prince Abdullah Al Faisal Sports City, Jeddah, dengan Kosei Ogura meledak dua gol manakala Yuto Ozeki dan Ryunosuke Sato masing-masing menyumbang satu jaringan.
Shaikh Salman menegaskan kejayaan itu amat wajar diraikan, bukan sahaja kerana Jepun menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan, malah kerana konsistensi tinggi yang dipamerkan sepanjang kejohanan.
“Bagi pihak keluarga bola sepak Asia, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Jepun dan juga China PR atas ketabahan serta konsistensi luar biasa sehingga mara ke perlawanan akhir,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memuji usaha Persatuan Bola Sepak Jepun dan China PR yang dianggap komited membangunkan sistem pembangunan belia bertaraf dunia, sambil menyifatkan kejayaan Jepun itu sebagai refleksi jelas kekuatan struktur bola sepak negara tersebut.
Shaikh Salman yakin kejayaan itu akan menyemarakkan lagi minat terhadap bola sepak di Asia serta memberi inspirasi kepada generasi baharu pemain dan penyokong di rantau ini.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Arab Saudi selaku tuan rumah kejohanan, dengan menyifatkan keupayaan penganjuran negara itu sebagai antara yang terbaik di dunia.
Menurutnya, sokongan berterusan Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) dan kepimpinan negara itu membuktikan kesungguhan mereka untuk menjadikan Arab Saudi sebagai hab sukan dan bola sepak global, sekali gus memberi nilai tambah kepada kejohanan-kejohanan besar AFC yang bakal berlangsung termasuk Final Liga Juara-Juara AFC Elit Jeddah 2026 dan Piala Asia AFC 2027.