PERLAWANAN merseyside derby antara Everton dan Liverpool yang dijadualkan berlangsung di Goodison Park pada Sabtu telah ditangguhkan akibat amaran cuaca merah ‘bahaya kepada nyawa’ ketika Ribut Darragh melanda barat England dengan kelajuan angin mencecah 90mph.
Pertembungan Liga Perdana Inggeris itu pada asalnya dijadualkan sepak mula pada jam 12.30 tengah hari (GMT) waktu London.
Namun kini akan dimainkan pada tarikh baharu yang akan diumumkan kemudian dan keputusan untuk menangguhkan perlawanan ini dibuat oleh pihak berkuasa, bukan oleh kelab.
“Perlawanan Liga Perdana Inggeris Everton menentang Liverpool, yang dijadualkan pada jam 12.30 tengah hari (GMT) hari ini, Sabtu 7 Disember, telah ditangguhkan.
“Selepas mesyuarat Safety Advisory Group di Goodison Park, yang dihadiri pegawai daripada kedua-dua kelab, serta wakil dari Merseyside Police dan Liverpool City Council pagi ini.
“Ia telah diputuskan bahawa disebabkan risiko keselamatan di kawasan sekitar akibat angin kencang, dan amaran cuaca amber yang berkuat kuasa sehingga jam 6 pagi Ahad, perlawanan hari ini perlu ditangguhkan atas alasan keselamatan.” Kenyataan yang dipetik daripada akaun rasmi Everton.
“Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul dan mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana memahaminya.
“Walaupun kami memahami ini adalah kekecewaan besar buat penyokong, keselamatan peminat, staf dan pemain adalah keutamaan.
“Maklumat mengenai tarikh baharu perlawanan akan diumumkan dalam masa terdekat, serta semua tiket yang dibeli untuk perlawanan asal akan tetap sah untuk perlawanan yang dijadualkan semula.” Tambah kelab itu lagi.
Penangguhan ini berlaku selepas Pejabat Meteorologi UK mengeluarkan amaran merah bahaya kepada nyawa, disebabkan angin kencang, risiko serpihan yang terbang, pokok tumbang, ombak besar, gangguan bekalan elektrik, kerosakan pada bangunan dan rumah, serta banyak lagi.
Sebagai tambahan, orang ramai dinasihatkan untuk kekal di dalam rumah semasa ribut luar biasa ini sedang melanda bandar itu.