Juara Piala Dunia 2026 bakal menikmati satu lagi pengiktirafan istimewa apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memperkenalkan cincin kejuaraan sebagai penghargaan rasmi buat kali pertama dalam sejarah kejohanan itu.
Selain trofi Piala Dunia dan pingat emas yang menjadi simbol kejayaan selama ini, pasukan yang muncul juara selepas aksi final antara Argentina dan Sepanyol di Stadium MetLife awal pagi Isnin turut akan menerima cincin eksklusif sebagai kenangan pencapaian mereka.
Bagaimanapun, cincin tersebut tidak akan diserahkan terus kepada semua pemain sejurus tamat perlawanan. Sebaliknya, hanya kapten pasukan dan ketua jurulatih akan menerima cincin sementara ketika majlis penyampaian hadiah di atas padang.
FIFA kemudian akan menghasilkan set lengkap sebanyak 30 cincin yang dibuat mengikut saiz setiap pemain dan pegawai pasukan sebelum disampaikan dalam satu majlis khas pada tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Rekaan cincin itu turut menampilkan elemen eksklusif apabila memaparkan trofi Piala Dunia pada satu bahagian, manakala bahagian lain dihiasi lambang serta identiti negara yang muncul sebagai juara dunia.
Setiap cincin juga dilengkapi nombor siri unik, saiz yang diperibadikan mengikut pemilik serta sijil ketulenan bagi menjadikannya koleksi eksklusif buat penerimanya.
Dalam masa sama, FIFA turut memberi peluang kepada penyokong untuk memiliki memorabilia rasmi kejohanan dengan menghasilkan 1,996 cincin edisi khas yang akan dijual kepada peminat di seluruh dunia.
Daripada jumlah tersebut, hanya 30 cincin diperuntukkan kepada skuad juara, manakala selebihnya akan dipasarkan sebagai koleksi rasmi sempena Piala Dunia 2026.
Pengenalan cincin kejuaraan itu menyaksikan FIFA membawa satu tradisi yang sinonim dengan beberapa liga sukan profesional di Amerika Utara ke pentas bola sepak antarabangsa, sekali gus menambah nilai simbolik kepada kejayaan menjulang trofi paling berprestij dunia.
Langkah berkenaan diharap dapat memberikan kenangan berkekalan kepada pemain dan pegawai yang berjaya mengukir nama sebagai juara dunia, selain menawarkan peminat peluang memiliki sebahagian daripada sejarah Piala Dunia 2026.