South Africa’s Belgian head coach Hugo Broos takes part in a training session at the Club America Training Site in Mexico City on June 10, 2026, on the eve of the 2026 World Cup football match between Mexico and South Africa. (Photo by Yuri CORTEZ / AFP)
KETUA jurulatih Afrika Selatan, Hugo Broos menggesa anak buahnya supaya tidak terpengaruh dengan suasana luar biasa yang bakal dicipta puluhan ribu penyokong tuan rumah apabila mereka membuka kempen Piala Dunia 2026 menentang Mexico di Estadio Azteca, awal pagi esok.
Pengendali berusia 74 tahun itu menjangkakan skuad Bafana Bafana akan berdepan cabaran besar bukan sahaja daripada lawan di atas padang, malah tekanan daripada kira-kira 85,000 penyokong Mexico yang dijangka memenuhi stadium ikonik tersebut.
Menurut Broos, pemainnya perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada corak permainan sendiri jika mahu mencuri mata berharga dalam aksi pembukaan Kumpulan A.
“Kami tahu kelebihan besar berada di pihak Mexico kerana mereka akan mendapat sokongan padu penyokong sendiri. Namun apa yang penting adalah bagaimana kami mengawal emosi dan kekal fokus sepanjang perlawanan,” katanya.
Broos bukan asing dengan suasana di Azteca selepas pernah beraksi di stadium berkenaan bersama Belgium ketika Piala Dunia 1986, juga di Mexico, dan percaya pengalaman itu sedikit sebanyak membantunya memahami cabaran yang bakal dihadapi pasukannya.
Beliau menyifatkan Mexico sebagai pasukan pilihan dalam kumpulan berdasarkan prestasi semasa yang cukup memberangsangkan, namun menegaskan Afrika Selatan hadir dengan keyakinan untuk memberikan saingan sengit.
“Mexico berada dalam prestasi yang baik dan mereka mungkin pasukan terbaik dalam kumpulan ini. Kami sedar tugas yang menanti sangat sukar, tetapi pemain-pemain kami bersedia berjuang untuk setiap bola dan setiap ruang di atas padang,” katanya.
Dalam pada itu, Broos turut meluahkan pandangannya mengenai format baharu Piala Dunia yang kini melibatkan 48 pasukan.
Menurutnya, pertambahan jumlah peserta serta perjalanan jauh antara venue menjadikan kejohanan lebih mencabar berbanding edisi terdahulu.
“Ia jauh lebih besar berbanding sebelum ini dan sudah tentu lebih meletihkan. Namun ini adalah realiti bola sepak moden dan kami perlu menyesuaikan diri,” katanya.
Afrika Selatan akan memulakan kempen Kumpulan A menentang Mexico sebelum meneruskan cabaran dalam baki aksi kumpulan dengan harapan untuk melakar kemaraan ke pusingan kalah mati.