PIALA Dunia merupakan pentas yang menghimpunkan bintang-bintang terbaik dunia, namun beberapa nama besar terpaksa melupakan impian beraksi di kejohanan paling berprestij ini.
Ini merupakan kesebelasan pemain terbaik yang tercicir daripada pentas teragung ini sama ada kerana negara mereka gagal melayakkan diri, tidak dipanggil menyertai skuad kebangsaan, atau disisihkan akibat kecederaan.
Di gawang, Gianluigi Donnarumma yang beraksi cemerlang bersama Manchester City FC dengan peratusan penyelamatan terbaik dalam liga ini gagal ke Piala Dunia selepas Itali gagal selepas tewas di pusingan kelayakan.
Bek kiri FC Barcelona, Alejandro Balde tidak dipanggil ke skuad kebangsaan Sepanyol walaupun memainkan peranan penting dalam kejayaan liga baru-baru ini.
Melengkapkan gandingan, bek kanan Real Madrid, Trent Alexander-Arnold terpaksa ditinggalkan oleh Thomas Tuchel yang lebih memilih Reece James dan Tino Livramento untuk memperkukuh skuad England di Piala Dunia kali ini.
Matthijs de Ligt dan Éder Militão melengkapkan barisan pertahanan tengah selepas kedua-duanya terpaksa melupakan Piala Dunia akibat kecederaan yang menimpa mereka ketika bersama Manchester United FC dan Real Madrid.
Mengawal tempo permainan, pemain tengah bertahan Real Madrid, Eduardo Camavinga terpinggir daripada skuad kebangsaan Perancis selepas prestasinya merudum berbanding musim sebelumnya.
Turut mengalami prestasi merudum, Cole Palmer pemain tengah Chelsea FC itu tidak tersenarai dalam skuad England kendalian Thomas Tuchel dalam memburu Piala Dunia untuk membawa pulang kejuaraan tersebut.
Sebaliknya, walaupun mempunyai prestasi yang cemerlang, pemain terbaik Liverpool FC musim ini, Dominik Szoboszlai terlepas peluang untuk menunjukkan kemampuan di pentas terbesar ini selepas Hungary kecundang dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
Di bahagian serangan, pemain sayap kanan Real Madrid, Rodrygo terpaksa disisihkan daripada skuad Brazil selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) ketika menentang Getafe CF Mac lalu.
Dalam pada itu, penyerang tengah pasukan ini, Robert Lewandowski terpaksa akur tidak beraksi di Piala Dunia ini, yang mungkin juga menjadi peluang terakhirnya untuk tampil di pentas tersebut selepas Poland tidak layak ke Piala Dunia 2026.
Akhir sekali di sayap kiri, Khvicha Kvaratskhelia dari Paris Saint-Germain FC yang menjulang gelaran ‘Player of the Tournament UEFA Champions League’ musim ini, tetap tidak dapat membawa Georgia ke Piala Dunia 2026 selepas pasukannya tersingkir dalam kempen kelayakan.
Walaupun tidak beraksi di Piala Dunia 2026, kesebelasan ini tetap membuktikan kualiti mereka sebagai antara pemain elit dunia, namun pelbagai faktor telah menafikan peluang mereka di pentas teragung bola sepak ini.