Czech Republic’s head coach Miroslav Koubek gives a press conference at the Guadalajara Stadium in Zapopan, Mexico on June 10, 2026, on the eve of the 2026 World Cup football match between South Korea and the Czech Republic. (Photo by Ulises RUIZ / AFP)

KETUA jurulatih Republik Czech, Miroslav Koubek percaya pasukannya memiliki kemampuan untuk menyekat pengaruh bintang Korea Selatan, Son Heung-min menjelang pertembungan pembukaan Kumpulan A Piala Dunia 2026, esok.

Koubek yang bakal membimbing Republik Czech dalam penampilan pertama negara itu di pentas Piala Dunia selepas 20 tahun menegaskan beliau tidak berdepan sebarang tekanan meskipun bakal mengharungi kejohanan terbesar dalam bola sepak dunia.

Menurut pengendali berpengalaman itu, tempoh panjang yang dilaluinya dalam dunia kejurulatihan membolehkan beliau menghadapi cabaran tersebut dengan tenang.

Walaupun mengakui Son sebagai pemain paling berbahaya dalam skuad Korea Selatan, Koubek yakin barisan pertahanannya mampu mengehadkan ancaman yang dibawa kapten pasukan lawan itu.

“Son adalah pemain berkualiti dan legenda bola sepak Asia, namun kami mempunyai perancangan tersendiri untuk menghadapinya,” katanya.

Republik Czech hadir ke Piala Dunia kali ini dengan pendekatan berbeza berbanding skuad yang beraksi pada edisi 2006. Jika ketika itu mereka dibarisi beberapa pemain bertaraf dunia, pasukan kali ini lebih bergantung kepada kekuatan kolektif, disiplin taktikal dan semangat berpasukan.

Koubek percaya faktor tersebut mampu menjadi senjata utama untuk menyaingi pasukan yang memiliki kelebihan dari segi kemahiran individu dan teknik permainan.

“Kami perlu bermain mengikut perancangan taktikal yang telah disusun. Kekuatan kami terletak pada kesatuan pasukan, disiplin serta keinginan tinggi untuk merealisasikan impian beraksi di Piala Dunia,” katanya.

Selepas menentang Korea Selatan, Republik Czech akan meneruskan cabaran Kumpulan A dengan berdepan Afrika Selatan sebelum menamatkan saingan peringkat kumpulan menentang tuan rumah, Mexico.

Keputusan positif dalam aksi pembukaan dilihat penting untuk menghidupkan peluang mereka mara ke pusingan seterusnya dalam penampilan pertama di Piala Dunia sejak 2006.