BEKAS pertahanan kebangsaan, Amirizdwan Taj Tajuddin mengakui dunia kejurulatihan masih baharu sebagai karier utamanya selepas bersara sebagai pemain bola sepak.
Jelas Taj, keputusan untuk bersara sebagai pemain bola sepak pada usia 34 tahun tidak menjadikan dia terus melupakan permainan ini, sebaliknya pengalaman lebih sedekad di padang dikongsi bersama pemain-pemain muda.
Minatnya yang mendalam dalam bola sepak menjadikan Taj kini bergelar jurulatih di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bagi pasukan Bawah 14 tahun.
“Sebenarnya ini tahun kedua saya menjadi jurulatih selepas tahun terakhir, 2020 masih bergelar pemain. Tahun lepas secara rasminya saya menjadi jurulatih pasukan muda.
“Alhamdullilah saya gembira dengan karier sekarang. Banyak lagi perkara yang perlu pelajari dalam pengurusan kejurulatihan. Dalam masa sama, saya berbangga dan berterima kasih kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana memberi kepercayaan untuk menjadi pembantu jurulatih bagi pasukan Bawah 16 Tahun yang kini bakal beraksi pada Piala AFF B-16 di Jogjakarta,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.

Taj (depan kiri) bersama Osmera dan skuad B-16 Tahun pada sesi taklimat pasukan sebelum ini.
Taj,36, yang memiliki Lesen B Kejurulatihan yang melayakkannya menjadi pembantu jurulatih ini memberitahu, tugasnya bersama skuad muda negara masih baharu dan banyak mendapat tunjuk ajar daripada Ketua Jurulatih B-16, Osmera Omaro.
“Tugas saya lebih kepada membantu ketua jurulatih, mengenalpasti kelemahan-kelemahan pemain secara individu, yang mungkin terlepas pandang. Dari situ saya akan melaporkan kepada ketua jurulatih dan menyelesaikan bersama.
“Saya juga ada banyak berkongsi pengalaman kepada pemain-pemain muda ini dalam menyelesaian situasi permainan dan paling penting sekali sentiasa memahami gaya permainan terkini,” ujarnya yang pernah menyarung jersi Harimau Malaya bermula 2011-2015 ini.
Dalam pada itu, Taj turut meluahkan rasa yakin terhadap pasukan B-16 ke Piala AFF ini memandangkan semua pemain telah menunjukkan kematangannya sendiri Ketika beraksi.

Skuad Bawah 16 Tahun berangkat ke Jogjakarta pada Jumaat.
“Mereka adalah pasukan A (AMD) yang bermain di pentas Piala Belia. Pada pusingan pertama liga mereka sudah layak ke suku akhir. Pengalaman bermain dengan pasukan belia lain (Bawah 19 Tahun) telah membuatkan mereka lebih matang dan berani berdepan dengan pemain yang lebih berusia.
“Piala Belia banyak membantu mereka dan sudah tentu ketika aksi di Jogjakarta ini mereka akan lebih yakin bermain dengan pasukan yang sebaya dengan mereka.
“Saya berharap mereka semua mampu menghasilkan kejayaan pada Piala AFF ini, dan semangat kejuaraan pasukan B-19 baru-baru ini menjadikan pemain-pemain ini berkobar-kobar untuk membawa pulang trofi kejuaraan,” tambahnya.