PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mendedahkan bahawa aduan terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung oleh FIFA berpunca daripada pihak di Vietnam, namun bukan daripada Konfederasi Bola Sepak Vietnam (VFF).
Menurut baginda, maklumat itu diperoleh daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas kemenangan Malaysia ke atas Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 yang lalu, sekali gus mencetuskan siasatan oleh badan induk dunia itu.
“Saya diberitahu oleh AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) kerana selepas kita menang ke atas Vietnam, saya dapat tahu terdapat aduan. Saya tak tahu siapa yang buat, tetapi apabila saya tanya kepada AFC, ia bukanlah daripada Konfederasi Bola Sepak Vietnam (VFF).

“Ia datang dari Vietnam, tetapi bukan dalam persatuan bola sepak mereka. Jadi, ia bukanlah Presiden atau Setiausaha Agung, itu apa yang saya diberitahu,” kata Tunku Ismail ketika satu sidang media.
Sebelum ini, laporan media menyebut aduan berkenaan dibuat dari sebuah negara Asia Tenggara selepas kemenangan Malaysia ke atas Vietnam mencetuskan dakwaan bahawa tujuh pemain warisan terbabit tidak layak beraksi.
Antara pemain yang digantung selama 12 bulan oleh FIFA termasuk Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado, Facundo Garces dan Gabriel Palmero.
Sumber Gambar: Stadium Astro