IMPIAN skuad Harimau Malaya untuk menutup tahun 2025 dengan momentum positif terus dihimpit realiti pahit apabila nilai pasaran tujuh pemain warisan negara menjunam ke paras sifar susulan penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Kemaskini terbaharu di laman sesawang Transfermarkt.com menyaksikan kesemua pemain terbabit kini diletakkan dengan nilai kosong, sekali gus mencerminkan kesan besar hukuman tersebut bukan sahaja kepada pasukan kebangsaan, malah terhadap reputasi dan nilai profesional pemain berkenaan di pentas antarabangsa.

Pemain sayap, Imanol Machuca yang sebelum ini memegang nilai pasaran tertinggi sekitar RM11.9 juta, mencatat penurunan paling drastik, diikuti pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueiredo yang menyusut RM9.58 juta serta pertahanan tengah Facundo Garces dengan penurunan RM4.79 juta.

Turut menerima nasib sama ialah Jon Irazabal yang kehilangan nilai RM2.87 juta, Rodrigo Holgado (RM2.16 juta), Hector Hevel (RM1.91 juta) dan Gabriel Palmero yang sebelum ini bernilai RM239,000, namun kini kesemuanya tidak lagi mempunyai nilai pasaran rasmi.

Situasi ini berpunca daripada keputusan FIFA yang menggantung tujuh pemain berkenaan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen, selain dikenakan denda sebanyak RM10,560 setiap seorang.

Implikasinya turut dirasai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila badan induk itu dikenakan denda RM1.8 juta, sebelum membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai usaha terakhir dalam proses perundangan.

Namun, tekanan ke atas FAM bertambah apabila FIFA membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan antarabangsa skuad Harimau Malaya dan memberikan kekalahan 0-3 bagi perlawanan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin, selepas didapati menurunkan pemain yang tidak layak.

Kesan langsung daripada keputusan itu menyaksikan ranking dunia Malaysia jatuh lima anak tangga ke kedudukan ke-121, menamatkan rekod tanpa kalah skuad negara sepanjang tahun 2025 dan meninggalkan persoalan besar terhadap hala tuju serta proses pemilihan pemain warisan pada masa hadapan.