PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D.Shahriman Zaharudin mendedahkan misi kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik 2024 Paris, gagal.
Megat menjelaskan pihaknya memohon maaf kepada rakyat Malaysia di atas kegagalan mencapai pingat emas yang disasarkan sebelum ke Paris ini.
Sebelum ini pihak MPM mengumumkan sasaran empat pingat emas pada temasya kali ini, namun hanya meraih dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Pada edisi empat tahun lalu di Tokyo kontinjen negara berjaya membawa balik tiga pingat emas dan dua perak.
“Berakhirnya sudah Sukan Paralimpik Paris 2024. Saya ingin maklumkan beberapa perkara menjurus kepada kegagalan sesebuah negara yang memepunyai dua pasukan atau dua pentadbiran di mana saya rasakan ‘satu kapal’ tidak boleh ada dua kapten.
“Di pihak MPM ingin maklum sudah lama berdiam diri dan ini temasya yang ketiga termasuk sebelum di Sukan Para Asean (Kemboja), Sukan Para Asia (Hangzhou) dan kali ini di Paralimpik Paris kami dibuli.
“Sudah tiba masanya kami mendedahkan bahawa antara MPM dan MSN (Majlis Sukan Negara) tidak ada kerjasama yang baik dalam semua aspek.
“MSN sentiada mengambil kesempatan ke atas MPM dan kami sentiasa diketepikan. Malah MSN gagal untuk mempersiapan atlet, menyediakan penambahan dari segi psikologi jurulatih, teknologi baharu, sistem pengurusan yang baharu. Dan semua ini sama sahaja sejak sekian lama.
“Malah mereka juga hanya nampak atlet-atlet yang sedia ada mengharapkan pingat emas, acara yang sama. Mereka tidak ada pengetahuan strategi seperti negara-negara lain,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Megat turut berharap MSN hanya menjalankan tugasan atau urusan sendiri dan tidak perlu mencampur tangan dalam pengurusan MPM, Majlis Olimpik Malaysia (OCM) ataupun Pesuruhjaya Sukan.
“MSN hanya perlu beri sokongan kepada kami semua. Perbaiki ‘system support’ kepada kami,” jelasnya.
Dalam pada itu, Megat berharap MSN tidak berdiam diri di atas kegagalan kontinjen negara kali ini.
“Bagi pihak MPM, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan akan mengadakan bedah siasat sebaik sahaja kembali ke Kuala Lumpur untuk memastikan masing-masing mengambil tanggungjawab kegagalan ini.
“Dalam masa sama, saya juga mahu MSN bertanggungjawab dan memberi laporan penuh prestasi atlet-atlet ini. Rakyat semua berhak tahu perkara sebenar
“Dan saya sebagai presiden MPM memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia dan terima kasih memberi sokongan kepada kami. Kami tidak akan lari daripada tugas kami.”