LAHIR sebagai insan normal, bukan perkara mudah untuk menempuhi fasa peralihan kepada individu bergelar orang kurang upaya (OKU).

Hal itu diakui sendiri Munawir Omar, 51, (gambar) yang hilang anggota badan akibat menghidap penyakit kencing manis.

Pengalaman cukup pahit ditempuhnya, apabila melalui fasa dipinggirkan dek kerana kekurangan yang dimiliki, apabila kaki kirinya terpaksa dipotong dan juga kehilangan lima jari kaki kanan.

“Tidak mudah, saya amat memahami perasaan orang yang digelar OKU. Saya kehilangan kaki dan jari untuk bergelar OKU pada usia 44 tahun.

“Hilang kawan rapat malah keluarga juga menjauhkan diri. Saya lebih banyak menyendiri di rumah kerana tiada siapa mahu bawa saya keluar, kerana renyah mahu menyimpan ‘wheel chair’ dan sebagainya.

“Justeru, saya bangkit dan saya mahu sesiapa sahaja bergelar OKU di luar sana bangkit seperti saya. Kita dapatkan pendapatan sendiri dan sibukkan diri dengan aktiviti perniagaan bagi mengelak berbagai-bagai pemikiran negative,” kata Munawir, ditemui pada Karnival Inspire OKU Aktif Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sempenah Hari Sukan Negara di Putrajaya.

Munawir kini menjadi usahawan Chocodap berjaya, mengajak semua masyarakat yang bergelar OKU, yang tiada sumber pendapatan untuk sama-sama bangkit.

Munawir menyeru masyarakat OKU datang ke Putrajaya kerana karnival terbabit berlangsung sehingga esok (Ahad).

“Jika tidak mahu berniaga sekalipun, datanglah kerana di sini banyak system sokongan yang boleh diperoleh,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Fayyath Abdullah, 26, menyeru golongan OKU menggunakan kelebihan yang ada pada diri dan menghindari pemikiran negatif yang melihat kekurangan pada diri.

Fayyath yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, kini bergelar atlet Para dan mewakili Wilayah Persekutuan berkata, kekurangannya cacat fizikal (kerdil) bukan faktor kepada kegagalan dalam hidup, selagi tidak mencuba.

Muhammad Fayyath Abdullah mahu menjadi atlet berjaya mengharumkan nama negara

Katanya, golongan OKU boleh mencuba menceburi pelbagai cabang sukan sepertinya yang meilih sukan lontar peluru.

“Saya sendiri bermain lontar peluru kategori F40, dengan pencapaian peribadi lontaran sejauh 7.26m yang saya lakukan di Para SUKMA 2018 di Perak.

“Selepas melihat atlet para meemenangi pingat emas di Sukan Paralimpik, saya tahu peluang untuk golongan seperti kami juga ada sebagaimana insan normal lain. Justeru, saya akan terus berusaha supaya terpilih mewakili negara kerana saya juga mengidamkan pingat emas di Sukan Paralimpik,” ujarnya.

Dia turut menyeru golongan OKU memperkasa jati diri dan mengeluarkan potensi yang tersimpan dalam diri masing-masing.

Pembabitannya di Karnival Sukan Inspire OKU Aktif itu dianggap satu peluang besar untuk bergaul dan bertukar buah fikiran, selain menyerap semangat positif daripada pelbagai pihak yang mengunjungi carnival terbabit yang bertempat bersebelahan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).