PEMAIN muda perseorangan lelaki negara, Justin Hoh tekad membalas kepercayaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas diberi peluang beraksi di Kejohanan Badminton Terbuka Amerika Syarikat dan Kanada, yang bakal membuka lembaran baharu dalam karier antarabangsanya.
Bakal terbang ke benua Amerika buat kali pertama dalam hidupnya pada Sabtu ini, Justin mengakui perjalanan hampir 24 jam itu bukan sahaja mengujinya secara fizikal, malah memberi tekanan mental terutama untuk memastikan penyertaan itu tidak sia-sia.
“Saya sangat hargai peluang ini. Kos ke sana sangat mahal, jadi saya nak balas kepercayaan BAM dan pastikan ia berbaloi. Ini peluang besar untuk kumpul pengalaman dan perbaiki kedudukan ranking,” katanya, yang mensasarkan untuk berada dalam kelompok 30 terbaik dunia tahun ini.

Justin Hoh menjadi prospek terbaik negara untuk disandarkan harapan pada Olimpik Los Angeles 2028.
Dia yang menduduki ranking ke-42 dunia ketika ini, menjalani latihan intensif selama empat minggu, Justin percaya dia berada dalam kondisi terbaik untuk bersaing, walaupun mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki, terutama dari segi kestabilan prestasi dan pengalaman bertemu pemain bertaraf dunia.
“Empat minggu terakhir memang saya fokus sepenuhnya kepada persiapan fizikal dan mental. Tahun ini prestasi saya agak turun naik, tapi saya harap enam bulan terakhir 2025 ni saya dapat kekalkan rentak konsisten,” katanya ,yang pernah mara ke suku akhir Terbuka Taiwan sebelum ini.
Ditanya mengenai pencabarnya di kejohanan bertaraf Super 300 itu, Justin menjelaskan saingan ketika ini tidak boleh dipandang mudah kerana ramai pemain handalan dunia juga menyertai kejohanan peringkat pertengahan seperti ini.
Selain Jun Hao, Eogene Ewe turut tersenarai ke dua kejohanan terbabit.