BEREGU muda negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian mencapai rekod baharu sepanjang digandingkan apabila melangkah ke separuh akhir Super 500 pertama di Terbuka Australia.

Pencapaian itu diraih selepas gandingan ranking ke-26 dunia itu menewaskan beregu tuan rumah, Rizky Hidayat-Frengky Wijaya Putra 21-16, 18-21, 21-12 pada aksi suku akhir di Sydney Olympic Park.

Sebelum ini, mereka sekadar mara ke suku akhir kejohanan bertaraf Super 500 di Terbuka Thailand.

Haikal-Hon Jian bagaimanapun berdepan ujian getir dalam misi ke final, apabila dijadual bertemu pilihan pertama dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu pada aksi separuh akhir, esok.

Haikal-Hon Jian kembali dengan prestasi lebih baik di Australia.

Ji Ting-Xiang Yu mara selepas tidak berdepan masalah mengatasi gandingan remaja negara, Aaron Tai-Khang Khai Xing 21-14, 21-12.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut ke separuh akhir, selepas menewaskan rakan senegara, Hon Jian-Go Pei Kee 21-15, 23-21.

Mereka akan berdepan beregu nombor lima dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin bagi perebutan tiket ke pentas final, esok.

Pertemuan itu memberi peluang kepada Kian Meng-Pei Jing yang menghuni ranking ke-19 dunia, melunaskan dendam mereka selepas tewas di tangan lawan itu di Terbuka Indonesia, minggu lalu.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan berdepan beregu nombor lima dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di separuh akhir Terbuka Australia.

“Saya harap esok boleh buat yang terbaik. Peluang memang memihak pasangan China mungkin 7:3 tapi kami pun tak akan putus asa.

“Sebabnya kita pun tak tau peluang kita macam mana.  Jadi kami akan bagi yang terbaik untuk menang,” kata Kian Meng kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pei Jing yang kemudiannya bergandingan bersama Lim Chiew Sin dalam beregu wanita turut melangkah ke separuh akhir menerusi kemenanan ke atas Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr dari Ukraine 21-17, 21-19 dan akan bertemu wakil Hong Kong, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi satu lagi beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King apabila tersingkir di suku akhir selepas tunduk di tangan gandingan Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh 14-21, 17-21.