TIDAK tahu menahu urusan tuntutan dibuat gandingan beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah kepada Persatuan Badminton, jurulatihnya Rosman Razak mengakui mahu kedua-duanya kekal di bawah kendaliannya.
Rosman berkata, biarpun dipalit kontroversi belum menandatangani kontrak baharu bersama badan induk badminton negara itu, Pearly dan Thinaah tetap menjalani latihan seperti biasa.
“Sebagai jurulatih dan wakil BAM, saya harap mereka kekal bersama kami. Mereka tiada masalah dalam latihan dan perkara itu menjadi keutamaan untuk saya.

Jurulatih badminton beregu wanita negara, Rosman Razak
“Urusan tuntutan mereka, saya tidak tahu secara terperinci kerana hanya fokus melatih,” kata Rosman.
Pasangan yang kini berada di ranking kelima dunia itu, dalam persiapan akhir menghadapi Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, 8 hingga 13 April ini.
“Namapun khabar angin, dalam latihan tidak ganggu apa-apa. Bukan urusan saya mengenai perkara tersebut dan saya hanya persiapkan pemain untuk kejohanan akan datang,” ujarnya lagi.
Di fahamkan, kontrak Pearly-Thinaah bersama BAM tamat Januari lalu dan mereka belum menandatangani kontrak baharu, berikutan sedang berunding untuk mencapai kata sepakat.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung BAM, Dato’ Kenny Goh mengesahkan: “Ya kontrak mereka telah tamat dan masih dalam rundingan… biasalah negotiation.”
Namun, beliau gembira melihat Pearly dan Thinaah tetap gigih menjalani latihan untuk menghadapi kejohanan akan datang.
“Saya tidak mahu membuat spekulasi, bagi saya mereka masih di BAM dan saya tidak tahu mereka akan keluar atau tidak.”
Meskipun beliau enggan berkongsi secara terperinci mengenai rundingan antara persatuan dengan pemain, namun ada pihak yang mendakwa satu persefahaman telah dicapai.