HADIAH kemerdekaan kali ini lebih bermakna apabila Hakim Danish Ramli berjaya menjuarai perlumbaan kedua Grand Prix (GP) Aragon saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 pada Ahad.
Pencapaian terbaiknya itu sekali gus membuatkan lagu Negaraku berkumandang di bumi Sepanyol dan dia menyanyikan lagu kebangsaan dengan penuh semangat di atas podium.
Menurut Hakim, perlumbaan yang dianggap mencabar kerana beraksi pada litar yang basah itu bagaimanapun dapat diatasi dengan baik.
Ini membuktikan kepakaran Hakim untuk menakluki Aragon dengan jurang besar lebih enam saat di depan pencabar terdekatnya.
“Saya berjaya menguruskan perlumbaan hari ini walaupun dengan litar yang basah, dan saya berasa cukup yakin dengan jentera saya.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih krew Red Bull Rookies, ZK Racing, SIC, Rider Formation dan kepada semua yang menyokong saya.
“Semalam adalah Hari Kemerdekaan untuk Malaysia dan kemenangan ini adalah untuk semua rakyat Malaysia,” kata pelumba berusia 17 tahun itu.
Pada perlumbaan itu, Hakim turut menewaskan wakil tuan rumah, Brian Uriarte di tempat kedua, manakala pelumba Finland, Rico Salmela melengkapkan kedudukan podium sebagai pemenang tempat ketiga.
Ia sekali gus menyaksikan Hakim Danish menduduki tangga keenam keseluruhan kategori pemandu selepas mengutip 114 mata, manakala Alvaro Carpe dari Sepanyol kekal mendahului dengan 202 mata.