BUAT laporan polis jika menerima mesej berbaur ugutan!

Demikian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika mengulas mengenai isu pemain badminton negara, yang menerima mesej berbaur ugutan menerusi aplikasi media sosial, baru-baru ini.

Beliau menegaskan, tindakan itu penting bagi membolehkan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan terhadap individu yang melampaui batas dengan mengancam keselamatan atlet mahupun persatuan.

“Kalau ugutan itu mempunyai aspek keselamatan kepada nyawa, diri mereka atau persatuan, saya nasihatkan supaya buat laporan polis supaya MCMC dan polis boleh buat siasatan,” katanya, pada acara gimik ringkas memulakan kerja naik taraf Kompleks Sukan Raja Muda, Kampung Baru.

Menurut Hannah, kecaman terhadap atlet di media sosial bukan perkara baharu kerana prestasi mereka sentiasa menjadi tumpuan sama ada ketika menang mahupun kalah.

Namun, beliau menegaskan ugutan berbentuk ancaman fizikal atau keselamatan tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa dan perlu diambil serius.

“Media sosial ini ada akaun sebenar, ada akaun palsu dan kadang-kadang dikendalikan oleh kanak-kanak, jadi kenyataan yang kita keluarkan pun mereka mungkin tak faham,” ujar Hannah.

Dalam masa sama, Hannah turut menasihatkan atlet agar mengurangkan masa di media sosial sebelum dan selepas perlawanan bagi mengelak emosi mereka terjejas serta memastikan fokus kekal terhadap prestasi di gelanggang.