EMPAT kejohanan penting iaitu Kejohanan Lumba Basikal Asia 2025 (ACC 2025) dan Asean Track GP President Cup Championships 2025 Siri 1, 2, & 3, dijangka menjadi keutamaan buat pelumba negara memburu mata dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh berkat, kejohanan-kejohanan yang akan berlangsung di Velodrom Kebangsaan Nilai, Negeri Sembilan ini, bakal memberikan kelebihan kepada pelumba negara.
“Kelebihan di laman sendiri,” kata Amarjit.
Kejohanan ACC 2025 akan berlangsung pada 21-27 Februari dan Asean Track GP (13-20 Januari) menawarkan peluang terbaik buat pelumba negara untuk memanfaatkan kelebihan berlumba di gelanggang sendiri dengan sokongan padu penonton tempatan.
“Saya berharap pelumba negara menggunakan peluang ini untuk mengumpul sebanyak mungkin mata UCI. Mereka sudah arif dengan trek di sini, dan saya yakin pengalaman tersebut akan memberi kelebihan buat mereka,” kata beliau.
Menurutnya, tumpuan tentunya terarah kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izati Mohd Asri.
“Shah dan Izzati sudah bertaraf dunia dengan pengalaman luas di peringkat antarabangsa. Walaupun Sukan Olimpik 2028 masih jauh, saya mahu mereka mengekalkan momentum kejayaan dari awal 2025,” katanya.
Bagaimanapun, Amarjit mengingatkan bahawa pelumba dari Jepun, Korea Selatan, Kazakhstan, Hong Kong, dan Iran akan menjadi cabaran utama untuk pelumba Malaysia di ACC 2025.
Sebagai rekod, Datuk Azizulhasni Awang pernah mencatat kejayaan cemerlang dengan meraih dua pingat emas dalam acara keirin dan pecut pada ACC 2023. Namun, The Pocket Rocketman dijangka tidak akan beraksi di ACC 2025 kerana memberi tumpuan kepada pengajiannya.
Amarjit yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) menegaskan bahawa prestasi pelumba negara di ACC 2025 dan Asean Track GP, akan menjadi penanda aras menjelang Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand.
“Saya optimis pelumba kita mampu mendominasi acara trek di Sukan SEA 2025. Dengan kerja keras dan persiapan rapi, kita boleh meraih semua pingat yang dipertandingkan,” katanya.