KETIKA Malaysia masih mencari hala tuju terbaik dalam membina semula keyakinan terhadap bola sepak negara, Maghribi sudah membuktikan bahawa kejayaan tidak datang dari keajaiban — tetapi hasil visi jauh ke hadapan, pelaburan berterusan dan sistem pembangunan yang tersusun.

menurut laporan media Magribi, Presiden Persekutuan Bola Sepak Maghribi (FMRF), Fouzi Lekjaa, menjelaskan bahawa kejayaan negaranya di pentas dunia bukan satu kebetulan, tetapi lahir daripada visi strategik yang digerakkan oleh Raja Mohammed VI sejak tahun 2008. Melalui pelan pembangunan sukan kebangsaan yang berpaksikan profesionalisme, sains sukan dan pembangunan akar umbi, Maghribi kini menjadi model kepada negara-negara Afrika dan dunia Islam.

Segalanya bermula dengan penubuhan Akademi Bola Sepak Mohammed VI pada 2009 — pusat latihan moden yang melahirkan generasi emas Maghribi termasuk nama-nama seperti Azzedine Ounahi, Nayef Aguerd dan Anas Zniti. Akademi itu bukan sekadar tempat melatih pemain muda, tetapi ekosistem lengkap yang melahirkan jurulatih, penganalisis dan staf teknikal yang bekerja selaras dengan falsafah pembangunan bola sepak kebangsaan.

Lebih mengagumkan, sejak 2019, pembukaan Pusat Bola Sepak Mohammed VI menjadikan Maghribi antara negara dengan fasiliti terbaik di dunia. Segala kategori — dari bawah 17 tahun hingga skuad senior — berlatih di bawah satu sistem dan satu falsafah. Hasilnya jelas: 29 final dicapai, 25 kejuaraan dimenangi, termasuk tempat keempat di Piala Dunia 2022, gangsa Olimpik 2024, serta kejuaraan AFCON B-17 dan Piala Dunia B-20 tahun 2025.

Lekjaa menegaskan kejayaan itu lahir daripada perancangan jangka panjang dan kerja institusi yang tersusun. “Kami tidak bertaruh pada nasib. Kami bertaruh pada sistem,” katanya. “Daripada jurulatih Walid Regragui hingga ke pasukan bawah umur, semuanya anak kepada projek nasional yang sama.”

Dalam konteks Malaysia, model Maghribi ini seharusnya menjadi cerminan kepada usaha membangunkan semula bola sepak tempatan. Sudah tiba masanya pelaburan disalurkan bukan sekadar kepada skuad utama, tetapi kepada pembinaan akademi bersepadu, latihan kejurulatihan tempatan dan penyelarasan falsafah bola sepak di semua peringkat.

Jika Maghribi mampu mengubah wajah bola sepak mereka dalam tempoh 15 tahun melalui sistem dan kesatuan visi, Malaysia juga mampu — asalkan kesungguhan politik, komitmen institusi dan pelan jangka panjang digerakkan secara konsisten.

Kerana seperti yang dibuktikan oleh Maghribi, kejayaan bola sepak tidak bermula di stadium, tetapi di akademi — dan di dalam visi yang tidak pernah berundur.