FOTO : Hakim Danish 

PELUMBA muda yang sedang meningkat naik, Hakim Danish Ramli memberikan saingan hebat dalam Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 yang sedang berlangsung di Litar Mugello, Itali dari 1 hingga 2 Jun.

Hakim, yang merupakan salah satu pelumba harapan Malaysia, berjaya menamatkan perlumbaan pertama di kedudukan ketujuh dengan hanya ketinggalan 0.518 saat di belakang pemenang perlumbaan.

Dalam catatan media sosialnya, Hakim berkongsi kegembiraan dan kelegaan selepas menamatkan perlumbaan yang mencabar itu.

“Alhamdulillah selesai perlumbaan 1 di Mugello. Hari ini perlumbaan agak mencabar bagi saya kerana kelompok depan agak laju tapi saya berjaya kejar balik di empat lap terakhir.

“Insya Allah race esok saya akan berjuang lagi. Doakan kejayaan saya esok,” kata Hakim Danish selepas tamat saingan.

May be an image of 5 people, scooter, motorcycle and text

Hakim Danish hanya ketinggalan 0.518 saat di belakang pemenang perlumbaan.

Perlumbaan di Litar Mugello, yang terkenal dengan laluan berliku dan cabaran teknikalnya, menyaksikan dirinya menunjukkan semangat juang yang tinggi. Meskipun berdepan saingan sengit dari pelumba-pelumba lain, Hakim Danish berjaya memperbaiki kedudukannya dalam lap-lap terakhir perlumbaan.

Dengan kedudukan P7 dalam perlumbaan pertama, Hakim kini menaruh harapan untuk memperbaiki prestasinya dalam perlumbaan kedua yang akan berlangsung pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN : Perubahan pengendalian motor tingkatkan keyakinan Hakim Danish

 

Keputusan akhir perlumbaan 1.

Pelumba asal Terengganu berusia 17 tahun ini berharap dapat memanfaatkan pengalaman yang diperolehnya hari pertama di Itali untuk memberikan saingan yang lebih sengit dalam perlumbaan seterusnya.

Peminat-peminat sukan permotoran Malaysia pasti akan terus memberikan sokongan padu dan doa agar Hakim Danish berjaya mencipta kejayaan yang lebih gemilang dalam perlumbaan kedua Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024.