MESKIPUN dilabel berada dalam kumpulan maut, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tetap percaya barisan pemain Harimau Malaya B-22 mampu melangkah ke separuh akhir bola sepak Sukan SEA 2023.
Keyakinan itu bersandarkan kepada semangat juang tinggi yang ditunjukkan barisan pemain dan persembahan konsisten yang ditunjukkan pemain E Elavarasan yang segar membelasah Laos 5-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B.
Bagaimanapun, Hamidin berkeras tidak mahu menunggu lama sehingga ke perlawanan terakhir untuk memastikan sama ada Malaysia B-22 layak atau tidak.
“Saya dah jumpa para pemain di hotel. Saya katakan pemain senang sahaja. Apabila kita berada dalam kumpulan kuat bertemu Thailand atau Vietnam, kita buktikan boleh mengalahkan mereka.
“Alhamdulillah perlawanan pertama kita dapat mata dan menang jaringan besar. Ia mungkin jadi penentu untuk putuskan mara ke separuh akhir.
“Jika lihat Laos dan Singapura yang boleh dikatakan hampir tersingkir dengan tinggal hanya Malaysia, Thailand dan Vietnam yang belum dikalahkan.
“Hari Sabtu inilah mereka tunjukkan (mentaliti menang) bakal masuk final dan bakal menang untuk bergelar juara,” katanya.
Sementara itu, diminta mengulas soal ganjaran bonus yang bakal diterima pemain bola sepak seandainya memenangi pingat emas seperti diumumkan beberapa persatuan lain, Hamidin mengambil tindakan mengunci mulut.
“Itu biarlah rahsia… Saya tak komen, itu antara saya dan pasukan,” katanya.
Selepas berdepan Laos, Harimau Muda akan menentang pemenang 16 pingat emas Sukan Sea, Thailand, pada Sabtu sebelum berdepan juara bertahan, Vietnam (8 Mei) dan aksi terakhir menentang Singapura (11 Mei).
Untuk rekod, FAM sebelum ini meletakkan sasaran ke final Sukan SEA kepada anak buah Elavarasan dan kali terakhir skuad negara memenangi pingat emas acara bola sepak adalah pada 2011 di Indonesia.