JOHOR Darul Ta’zim (JDT) tidak mempunyai masalah untuk mencatat kemenangan ke-17 berturut-turut dalam Liga Super apabila menumpaskan Kelantan FC 5-0 dalam aksi menarik di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.

Dua gol daripada Fernando Forestieri pada setiap babak dan masing-masing satu dari Oscar Arribas, Bergson Da Silva dan Akhyar Rashid sudah cukup untuk memberikan Harimau Selatan tiga mata penuh sekaligus mengukuhkan cengkaman di tangga teratas liga.

Meskipun Esteban Solari melakukan beberapa pertukaran dengan merehatkan Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Leandro Velasquez namun JDT tetap beraksi seperti biasa yang sukar disekat barisan muda Kelantan.

Hanya sembilan minit diperlukan JDT untuk mendahului apabila Forestieri meledak gol ke-16 peribadinya musim ini sebelum Oscar Arribas melonjak tinggi menanduk masuk sepakan sudut Juan Muniz untuk meletakkan JDT mendahului 2-0 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, tidak banyak perubahan berlaku dalam aksi JDT yang masih mengasak kubu Kelantan dengan skuad The Red Warriors sekali sekala berjaya mendatangkan gerun kepada penjaga gol JDT, Syihan Hazmi.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan pertahanan Kelantan dihukum Fernando Forestieri untuk gol kedua dan ke-17 nya dalam liga sebelum Bergson Da Silva dan Akhyar Rashid menambah duka Kelantan dengan gol keempat dan kelima JDT.

Kedudukan 5-0 kekal hingga tamat perlawanan dan JDT pulang ke Iskandar Puteri dengan mata penuh manakala Kelantan kekal di tangga terbawah liga masih dengan empat mata hasil hanya satu kemenangan setakat ini.

Kemenangan ini sudah pasti memberikan tonik terbaik buat JDT untuk menghadapi perlawanan akhir Piala FA menentang Kuala Lumpur City FC minggu hadapan.