PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee membuat satu pengumuman yang mengejutkan apabila tidak menyambung kontraknya bersama The Rhinos yang berakhir pada 30 November 2024 untuk memilih haluan yang berbeza.

Perkara ini disahkan menerusi satu hantaran rasmi yang dimuatnaik di laman sosial peribadinya sekaligus menutup perjalanan indah selama tiga tahunnya di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Menerusi hantaran itu juga, Kim Swee menyatakan perlawanan terakhir kendaliannya adalah aksi Pusingan 16 Piala Malaysia menentang PT Athletic di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 23 November 2024.

“Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan yang berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024. Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024.

“36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa. Saya bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini,” tulisnya dalam hantaran itu.

Kim Swee juga berterima kasih kepada pihak pengurusan, para pemain dan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan penuh buatnya sepanjang tiga tahun di Likas dan akan sentiasa mengenang saat manis di sini.

Sabah FC bakal kehilangan satu sosok professional dalam bidang kejurulatihan 

Sejak menyertai Sabah FC pada 2021, Kim Swee berjaya membawa The Rhinos menjadi salah satu pasukan yang hebat dalam Liga Malaysia dengan menamatkan saingan liga di tangga kesembilan pada 2021, dan ketiga pada 2022 dan 2023.

Di bawah kendalian Kim Swee juga Sabah FC berjaya melakar sejarah beraksi di Piala AFC 2023 hingga layak ke peringkat Zonal Semi Final selain menjadi semi finalis Piala Malaysia pada tahun 2022.

Menerusi perkhabaran ini, Sabah FC dijangka mengumumkan pengendali baharu yang akan membawa cabaran pasukan dalam pusingan kedua Liga Super dan Piala Malaysia 2024-2025.

Dalam pada itu, menurut sumber terdekat, Kim Swee kemungkinan akan kembali menyandang jawatan lamanya sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).