KOREA Selatan menghidupkan peluang untuk ke suku akhir selepas berjaya menewaskan Kanada 4-1 pada aksi kedua Kumpulan C, kempen Piala Dunia Remaja 2023.

Kekalahan 2-4 kepada India pada perlawanan pertama, Korea melipat gandakan usaha untuk memastikan tiga mata penuh milik mereka.

Memskipun ketinggalan menerusi gol padang Robin Thind minit ke-24, tonggak utama Korea, Lim Dohyun meledakkan empat gol selepas itu dalam tempoh 10 minit.

Foto : Dohyun Lim and Kirin Robinson WORLDSPORTPICS COPYRIGHT / WILL PALMER

Ketua jurulatih Korea, Jang Young Seo nyata puas melihat kebangkitan anak buahnya selain mengakui kemenangan hari ini cukup penting untuk pasukannya.

“Tiada pilihan untuk kami melangkah ke separuh akhir selain memenangi perlawanan hari ini. Tapi kami bermula agak perlahan dan pada pertengahan permainan barulah pemain mempamerkan aksi agresif.

Lim Dohyun cemerlang menjaringkan empat gol buat Korea Selatan ketika menewaskan Kanada 4-1. | Foto WORLDSPORTPICS COPYRIGHT

“Selepas tewas kepada India, saya cuba meniup kembali semangat setiap pemain serta mendapatkan keyakinan mereka semula. Hari ini mereka membuktikannya,” katanya.

Korea akan menentang Sepanyol pada perlawanan terakhir Sabtu ini dalam usaha mereka memburu tiket ke suku akhir

Pakistan kini meraih empat mata dalam kumpulan D selepas seri 3-3 dengan Belanda dan menang 4-0 ke agtas New Zealand. | Foto WORLDSPORTPICS COPYRIGHT

Sementara itu, Pakistan yang dibimbing bekas jurulatih skuad senior negara, Roelant Oltmans meneruskan aksi cemerlang mereka apabila menewaskan New Zealand 4-0 pada aksi kedua Kumpulan D sekali gus di landasan tepat untuk memburu tiket suku akhir.

Gol Pakistan dijaringkan oleh Arshad Liaqat minit ke-19, 30 dan 54 dengan kesemuanya adalah jaringan padang manakala Hannan Shahid menyumbang satu gol menerusi pukulan sudut penalti minit ke-32.