AKSI Piala Sultan Azlan Shah 2024 dimulakan perlawanan yang menyaksikan New Zealand membelasah Kanada dengan keputusan 7-1.

Aksi petang itu merupakan one sided match disebabkan penguasaan penuh New Zealand terhadap pasukan lawan.

New Zealand memulakan perlawanan dengan garang dan hasilnya berjaya menjaringkan gol seawal minit pertama menerusi gol padang Scott Boyde.

Pasukan ranking ke-10 dunia itu mengekalkan momentun mereka di suku kedua dan hasilnya berjaya menjaringkan dua gol pada minit ke-16 dan 26 menerusi gol padang George Baker dan gol pukulan sudut penalti Jake Smith.

Bersambung suku ketiga, New Zealand terus menekan Kanada untuk melebarkan jaringan gol.

New Zealand memperoleh empat pukulan sudut penalti tetapi penjaga gawang Kanada berjaya menyelamatkan setiap satu percubaan yang dilakukan.

George Baker dan Jake Smith berjaya menjaringkan gol padang pada minit ke-41 dan 45 untuk meletak New Zealand lima gol dihadapan.

Kanada yang seolah-olah sudah mengalah sebelum perlawanan tamat berjaya menarik balik kelebihan satu gol New Zealand hasil jaringan Rowan Childs pada minit ke-46.

Pemain terbaik perlawanan, Scott Boyde

Namun, New Zealand masih belum habis berpesta gol apabila menjaringkan dua gol padang pada minit terakhir suku keempat menerusi sekali lagi George Baker dan Scott Boyde.

New Zealand akan bertemu pasukan Jepun pada esok hari jam 4 petang manakala Kanada akan bertemu dengan pasukan Malaysia pada jam 8.30 malam.