PENYERANG utama Kelantan United FC, Indra Putra Mahayuddin akui walaupun dirinya sudah berumur, tetapi semangat untuk beraksi bersama pasukan tersebut masih membara dalam jiwanya.
Indra yang kini berusia 42 tahun telah menanam impian untuk bersara sebagai pemain bola sepak di Kelantan United tapi sebelum itu ingin membantu kelabnya untuk meraih kejayaan dalam perlawanan Liga Super musim hadapan.
Indra yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan ada juga berkongsi cara untuk mengekalkan tahap kecergasan ‘fitness’ dalam dirinya berikutan usianya yang kian lanjut.
“Saya seorang yang tidak suka duduk diam dan sentiasa aktif. Kalau satu hari tu saya tidak buat sesuatu aktiviti seperti berlari, saya akan berasa lemah.
“Jadi saya akan sentiasa mengekalkan tahap kecergasan saya dengan melakukan aktiviti larian, bermain bola yang tidak henti. Sebagai sampingan, saya juga ada mengambil vitamin.”Saya diajar untuk mendisiplinkan diri sejak muda lagi dan saya masih ingat ajaran itu datang dari mendiang Coach Karl Heinz Weigang, oleh itu saya masih aplikasikan pesanannya sampai sekarang.
“Jadi mungkin itu sebabnya saya masih kekal cergas dan ‘fit’ sehingga kini untuk bermain bola,” ujarnya dalam satu temu bual eksklusif yang dimuat naik dalam laman rasmi Kelantan United FC.
Buat musim 2023, Indra tampil sebagai tunggak utama Kelantan United yang berjaya mendapatkan lima gol termasuk satu gol dalam saingan Piala Malaysia.
Sementara itu, Indra turut menyatakan bahawa setakat ini dirinya mempunyai Lesen B dalam bahagian kejurulatihan dan jika ada peluang dia akan sambung kepada Lesen A.
“Minat saya akan bola sepak ini cukup mendalam dan saya tidak akan berhenti. Saya akan sentiasa menurunkan ilmu kepada pemain-pemain muda yang ingin belajar,” katanya.