Select Page

Ini punca Stadium Rajamangala tak dapat digunakan untuk Piala AFF Mitsubishi Electric

Ini punca Stadium Rajamangala tak dapat digunakan untuk Piala AFF Mitsubishi Electric

JIKA di Malaysia, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) sering dikritik ekoran sering menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai tempat untuk penganjuran konsert namun perkara ini juga turut terjadi di negara jiran, Thailand.

Namun begitu, skuad Harimau Malaya masih dapat beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil meskipun stadium ini mendapat tempahan untuk menganjurkan konsert hingga menjadi tanda tanya di kalangan peminat mengenai keutamaan PSM terhadap kegunaan stadium terbesar negara itu

Perkara yang sama terjadi di Thailand apabila Stadium Rajamangala akan ditutup untuk penganjuran dua konsert artis antarabangsa hingga skuad Gajah Perang tidak dapat beraksi di stadium itu.

 

Stadium kebangsaan Thailand itu akan menganjurkan dua konsert bertaraf dunia iaitu Justin Bieber Justice World Tour pada 6 November 2022 dan MAROON 5 World Tour 2022 pada 10 December 2022.

Perlawanan pertama peringkat kumpulan buat Thailand adalah menentang Filipina pada 26 Disember 2022 dan FAT sedang dalam proses mencari stadium yang lebih sesuai.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung FA Thailand (FAT), Patit Suphaphong dalam kenyataan yang menyebut, “peluang untuk pasukan kebangsaan Thailand bermain perlawanan pertama di Stadium Rajamangala adalah tipis. Ini kerana rumput memerlukan masa untuk pulih selepas konsert itu. Oleh itu kami perlu mencari stadium lain sebagai alternatif.

Mano Polking

“Menurut undang-undang Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), setiap negara tuan rumah perlu menyediakan dua padang yang sesuai untuk digunakan,” katanya.

Hal ini turut menjadi kebimbangan buat ketua jurulatih, Mano Polking yang mahu stadium yang lebih dekat dipilih kerana tidak mahu mengganggu persiapan kerana dua lagi perlawanan berlangsung di tempat lawan.

“Saya tidak mahu stadium yang digunakan nanti memerlukan jarak tempuh yang jauh. Ini kerana pemain yang pulang dari perlawanan di tempat lawan akan mempunyai masa yang sedikit untuk berehat. Pemain akan kepenatan oleh itu kami perlu mencari stadium yang tidak jauh.”

Thailand diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Filipina, Kemboja, Indonesia dan pemenang kelayakan antara Brunei dan Timor Leste dalam kempen Piala AFF Mitsubishi Electric kali ini.

Nampaknya masalah penganjuran konsert di stadium-stadium utama ini bukanlah perkara baharu dan asing. Kadang kala kepentingan negara terpaksa diketepikan demi keuntungan yang bakal diperolehi daripada konsert antarabangsa ini.

Video Terkini

Loading...