FOTO : Terengganu FC
PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, menuntut barisan penyerangnya memperkemaskan sentuhan penyudah sebelum sepak mula Liga Super, 24 Februari ini.
Menurut jurulatih berasal Croatia itu, dua aksi pemanas badan yang dilalui TFC bertemu Kelantan United menampakkan kelemahan di bahagian serangan.
Steinbruckner bagaimanapun optimis Sang Penyu mampu tampil lebih garang dibantu kehadiran penyerang baharu, Adisak Kraisorn yang mula berlatih minggu ini.
“Dalam tempoh pramusim, keputusan tidak begitu penting dan selepas dua perlawanan, saya dapat mengenali permainan pemain dengan lebih dekat terutama pemain muda.
“Ada kalangan mereka layak membarisi kesebelasan utama namun beberapa lagi belum mencapai tahap Liga Super sebaliknya perlu lebih gigih merebut tempat.
“TFC harus membaiki banyak aspek terutama tindakan penyudah kerana peluang yang ada gagal disudahkan dengan baik tetapi kami masih ada masa meningkatkan prestasi.
“Adisak akan turut serta ke Lembah Klang dan saya akan lihat jika dia bersedia digandingkan dengan Ivan Mamut,” ujarnya kepada FLASH SUKAN selepas seri 1-1 dengan Kelantan United baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN : Adisak Kraisorn taruhan Terengganu uji kekuatan JDT aksi Piala Sumbangsih 2023
Steinbruckner menjelaskan, TFC akan bertemu skuad Liga Simpanan KL City FC pada Sabtu disusuli aksi dengan anak-anak buah Bojan Hodak dan Negeri Sembilan FC pada 31 Januari.
“Kami masih mencari seorang lagi ‘arkitek’ di posisi tengah yang mampu menjadi penjaring gol dan mencipta gerakan sama ada pemain tempatan, naturalisasi atau import Asean.
“Dengan perlawanan persahabatan yang diatur ini saya harap barisan pemain dapat mengambil peluang membuktikan kemampuan sebagai persediaan musim ini,” katanya lagi.