PERTEMBUNGAN Kedah Darul Aman FC dan Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Rabu akan menjadi medan terbaik buat kedua-dua pasukan memperbaiki kedudukan masing-masing.

Selepas terumbang-ambing dalam aksi liga dan tersingkir dari Piala AFC, Kedah kembali bangkit dari lamunan dan kini sedang dalam prestasi baik hasil tiga keputusan positif untuk kembali bersaing di kelompok pertengahan.

Namun ianya pasti tidak memuaskan hati pengendali, Aidil Sharin Sahak yang mahukan anak-anak buahnya memberikan aksi terbaik ketika menentang Selangor sekaligus menebus kehampaan tewas 1-4 pada aksi di Petaling Jaya April lalu.

Kembalinya Marc Vales dalam kesebelasan utama nyata memberikan impak kepada skuad Kenari yang dilihat lebih stabil dibahagian pertahanan selain Mahmoud Al-Mardi yang semakin garang merencana serangan serta menjaringkan gol.

Buat Selangor pula, empat mata dari dua perlawanan bertemu pendahulu dan tempat kedua liga pastinya memberikan angin baharu buat para pemain sejak tampuk kejurulatihan diambil alih oleh Nidzam Jamil.

Karektor Gergasi Merah yang ditampilkan pada dua perlawanan lalu perlu dikekalkan jika Selangor mahu membawa pulang tiga mata sekaligus memperbaiki kedudukan dalam liga dan kembali bersaing.

Brendan Gan

Tiga mata bakal membawa Selangor kembali ke kelompok pertengahan liga dengan persaingan sengit lima pasukan meskipun peluang untuk beraksi di Asia semakin tertutup rapat buat skuad merah kuning.

Kembalinya Brendan Gan dalam senarai pemain kebangsaan serta dua lagi pemain Selangor dijangka menambahkan lagi semangat mereka untuk memenangi perlawanan sekaligus hati para penyokong yang merajuk tempoh hari.

Perlawanan ini juga sudah pasti akan menjadi tumpuan para peminat bola sepak tempatan selepas gelagat Presiden KFA, Datuk Seri Sanusi Md. Nor yang mencuri tumpuan ketika final Piala FA dengan kini pasukannya pula yang akan beraksi.

Mampukah kedua-dua pasukan meneruskan momentum cemerlang dalam liga ataupun Kedah akan menjadi mangsa terbaharu Gergasi Merah atau Selangor akan dipatuk Sang Kenari yang mahu terbang lebih tinggi.