Kredit Gambar: Franck Fife/AFP
Pengadil Somalia, Omar Artan menganggap peluang mengendalikan aksi Piala Super UEFA antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Aston Villa sebagai detik yang cukup istimewa selepas sebelum ini terlepas peluang mengadili Piala Dunia.
Artan, 34, sebelum ini disenaraikan dalam panel pengadil FIFA untuk Piala Dunia, namun hasratnya untuk bertugas di kejohanan berkenaan tidak kesampaian selepas beliau tidak dibenarkan memasuki Amerika Syarikat ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami.
Sebagai tanda mengabadikan detik bersejarah itu, Artan menandatangani bola rasmi perlawanan PSG menentang Aston Villa yang berakhir dengan kemenangan 2-1 buat kelab Perancis berkenaan, sebelum menulis mesej ringkas: “Ini Piala Dunia saya.”
UEFA kemudian berkongsi gambar bola berkenaan menerusi platform X dan menyifatkannya sebagai satu kenangan istimewa buat pengadil terbabit, selain memberikan Artan peluang untuk beraksi di pentas Eropah selepas insiden yang berlaku di Amerika Syarikat.
Artan sebelum ini mendakwa beliau dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat walaupun sudah dipilih sebagai salah seorang pengadil FIFA bagi Piala Dunia. Seorang pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat bagaimanapun dilaporkan mendakwa Artan mempunyai kaitan dengan individu yang disyaki anggota organisasi pengganas.
Dakwaan berkenaan dinafikan Artan dan mencetuskan reaksi di Somalia, dengan beliau kemudiannya menerima sambutan sebagai wira selepas pulang ke tanah air.
Selepas menjalankan tugas di Salzburg, Artan turut menyampaikan penghargaan kepada UEFA dan Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) menerusi akaun Instagramnya atas sokongan yang diberikan sepanjang perjalanan tersebut.
“Terima kasih kepada semua yang menjadikan perkara ini kenyataan. Terutamanya UEFA kerana memberikan kepercayaan dan peluang serta mengalu-alukan saya ke benua mereka dengan tangan terbuka.
“CAF, konfederasi saya sendiri, atas sokongan dan usaha menjadikan semua ini kenyataan,” katanya.
Peluang mengadili perlawanan berprofil tinggi itu akhirnya memberikan Artan pentas untuk mencipta sejarah peribadi, apabila beliau menganggap tugasan di Piala Super UEFA sebagai pengganti kepada impian Piala Dunia yang terpaksa dilaluinya.