KETUA jurulatih Negeri Sembilan FC bawah-23 tahun, Mohamad Ishak Kunju, mengakui cabaran getir yang dihadapi pasukannya dalam saingan Piala MFL (B-23) musim ini selepas kekalahan tipis 0-1 kepada Penang FC II di Stadium Bandaraya pada Isnin.
Kekalahan tersebut menandakan tiga kekalahan berturut-turut buat skuad muda Negeri Sembilan, yang kini berusaha memperbaiki prestasi sebelum musim melabuhkan tirainya.
“Secara keseluruhan, pemain telah memberikan yang terbaik. Kadang-kadang, untuk menang perlawanan, kita perlukan jaringan gol, tetapi inilah masalah kita sejak awal musim.
“Kalau kita buat kesilapan kecil, kita mudah bolos. Tapi bila ada peluang, kita gagal menyudahkannya. Ini perkara yang perlu kita perbaiki,” ujar Mohamad Ishak.
Krisis kecederaan dan penggantungan pemain turut menjadi halangan besar buat pasukan ini. Mohamad Ishak menjelaskan bahawa ketiadaan beberapa pemain utama, termasuk mereka yang diperlukan oleh pasukan senior Negeri Sembilan, menjejaskan konsistensi skuad muda ini.
Namun, beliau tetap memuji semangat juang anak buahnya yang tidak pernah menyerah meskipun situasi semakin mencabar.
“Dalam tiga perlawanan terakhir, kita tewas 2-1, 2-1, dan 1-0 hari ini. Kita ada isu dengan kecederaan dan penggantungan pemain, dan pasukan utama pun memerlukan pemain mereka.
“Tapi kita akan cuba perbaiki. Sebelum puasa ini, kita ada dua perlawanan penting menentang Perak dan Selangor, dan kita akan cuba dapatkan keputusan terbaik untuk berada di kedudukan baik sebelum musim berakhir,” tambahnya.
Dengan hanya beberapa perlawanan berbaki, Negeri Sembilan FC B-23 berharap dapat menamatkan musim ini dengan catatan positif.
Walaupun prestasi semasa mencabar, keazaman pasukan untuk terus bangkit menunjukkan bahawa mereka tidak akan berputus asa dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam carta liga.
FOTO: NSFC