PEMAIN Nakhon Pathom United, Fergus Tierney meluahkan rasa puas hati selepas pasukannya berjaya mencuri satu mata berharga ketika menentang Bangkok United, pasukan yang berada di kedudukan kedua Liga 1 Thailand.

Tierney menekankan kepentingan keputusan itu buat pemain dan pasukan secara keseluruhan.

“Kami gembira memperoleh satu mata, terutamanya apabila Bangkok United merupakan salah satu pasukan terkuat dalam liga,” katanya menerusi laporan SNE Sports Co. 

Tierney, yang sebelum ini bermain di Liga 2 Thailand, turut berkongsi perbezaan antara kedua-dua liga.

Menurutnya, Liga 1 menawarkan kualiti permainan yang lebih tinggi, manakala Liga 2 lebih bersifat fizikal dan memerlukan gaya permainan yang berbeza.

Namun, dia berasa teruja dapat bersaing di peringkat tertinggi dan bersedia menyesuaikan diri.

Fokus utama Nakhon Pathom musim ini adalah memastikan kedudukan mereka kekal dalam Liga 1 Thailand dan mengelakkan penyingkiran.

Tierney menegaskan semangat juang pasukannya, berkata, “Kami mahu berjuang untuk kekal di liga dan memastikan kami tidak tersingkir.”

Dalam perspektif bola sepak yang lebih luas, Tierney memuji peningkatan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di bawah pimpinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) dan menyuarakan harapan untuk terlibat dalam perancangan masa depan mereka.

Dia juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada peminat bola sepak Malaysia atas sokongan yang tidak putus, baik untuk dirinya mahupun Muhammad Abu Khalil.

“Saya amat menghargai sokongan peminat Malaysia, dan saya berharap dapat bertemu anda semua lagi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada masa hadapan,” tambahnya.

FOTO : NPTUTD