PERAK FC adalah kelab yang miliki sejumlah pangkalan penyokong terbesar di Malaysia walaupun kelab itu kini berada di dasar Liga Premier 2022.
Buktinya, setiap kali perlawanan di tempat lawan ada sahaja sekelompok peminat yang tak jemu hadir memberi sokongan padu kepada kelab yang diberi jolokan The Bos Gaurus.
Bagaimanapun, bekas gergasi kelab dari utara itu yang hampir disingkirkan dari saingan liga gara-gara isu tunggakan gaji yang membelenggu pemain dan staf kejurulatihan telah menarik ‘minat’ Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengikuti lebih dekat perkembangan ketika itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam mengimbas kembali Perak FC yang diibaratkan bagai telur dihujung tanduk apabila bakal dikenakan hukuman seperti berlaku kepada pasukan Perlis yang dibatalkan penyertaan dalam Liga Malaysia pada 2019.
“Bermulanya musim ini MFL dihimpit dengan isu Perak. Perak ada masalah yang sangat berat.
“Perak adalah pasukan pilihan bola sepak tempatan dan kami sentiasa percaya ada nilai dalam liga,” ujarnya akui bimbang jika kelab yang penuh sejarah bola sepak tanah air ditutup.
Menurutnya, penutupan tidak bermakna masalah akan selesai sebaliknya menjadikan masalah kian rumit.
“Kami buat strategi betul yang perlu kami lakukan dan menolak mata untuk menyelamatkan bola sepak Perak daripada lenyap,” katanya dipetik ketika menjadi tetamu dalam rancangan The Armchair Malaysia yang dihoskan oleh T Avineshwaran dan Loghun Kumaran pada Selasa.
Terdahulu, isu hangat ini pernah mendapat perhatian meluas pihak media lokal yang melaporkan hukuman pemotongan sembilan mata yang dikenakan ke atas Perak FC.
Namun begitu, pertukaran pemilik baru oleh XOX Pro Sport Sdn. Bhd. yang memeterai perjanjian penjualan saham dengan Impact Media & Communication Sdn. Bhd. (IMC) untuk mengambil alih Perak FC berjaya mengubah landskap bola sepak kelab yang dibawah kendalian Yusri Che Lah.
Semalam, Perak meraih kemenangan moral mengatasi Selangor FC II, 1-0 pada pertemuan di Stadium UiTM, Shah Alam.
Untuk rekod, kali terakhir pasukan bola sepak Perak bergelar juara adalah dengan menamatkan penantian 18 tahun merangkul Piala Malaysia selepas menumpaskan Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 dalam final 2018.