REKOD seratus peratus kemenangan Johor Darul Ta’zim lebur di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), apabila diikat PDRM FC 1-1 dalam aksi menghiburkan.
Meskipun Harimau Selatan menurunkan barisan terkuat termasuk Arif Aiman Hanapi, Juan Muniz, Bergson da Silva, Corbin Ong, Mathew Davies dan Francisco de Oliveira ketika berkunjung ke gelanggang lawan, mereka gagal menghadirkan ancaman sebenar ketika Ifedayo Olusegun tidak disenaraikan skuad Polis itu.
The Cops memimpin perlawanan menerusi jaringan Shahrel Fikri pada minit ke-22, dan pasukan tuan rumah semakin selesa menguasai permainan.
Melihatkan situasi itu, pengendali JDT, Hector Bidoglio membuat pertukaran drastik mengeluarkan dua pemain, Corbin Ong dan Shahrul Saad, memasukkan Oscar Arribas dan Feroz Baharudin.
Pertukaran itu berjaya mengubah rentak permainan dan serangan Harimau Selatan lebih berkesan.
Buktinya JDT berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-33, selepas percubaan berkali-kali gagal menembusi gawang The Cops dikawal Nor Hakeem Hamidun.
Arribas mengambil peluang ke atas situasi kelam kabut di dalam kotak penalti PDRM, menjaringkan gol mengubah kedudukan 1-1.
Selepas itu pelawat memiliki lebih banyak peluang yang seharusnya menghasilkan gol termasuk percubaan Bergson da Silva pada masa kecederaan babak pertama, namun penyudah tumpul dan ketangkasan Hakeem menjadi penghalang.
Babak kedua berlangsung rancak dengan JDT memperoleh lebih banyak peluang yang seharusnya menghasilkan gol, namun penyudah kurang tajam dan kekentalan pertahanan tuan rumah, termasuk kecekapaan Hakeem di gawang PDRM, menafikan hajat JDT meraih tiga mata untuk dibawa pulang.
Keputusan seri 1-1 itu bermakna, PDRM berjaya menamatkan rekod kemenangan JDT dalam Liga Malaysia.
Untuk rekod, kali terakhir JDT gagal mencapai kemenangan pada aksi Liga Super 2023, ketika diikat Kedah Darul Aman 3-3 pada 26 Ogos tahun lalu.